Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu
Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Wednesday 24 June 2015

China: Revolusi, Nationalism & Komunisme

Communist Leaders
Marx, Engels, Lenin, Stalin, Yanukovich
These were the faces of a new political order:
There are many figures through history that have furthered the cause of communism, for better or worse. While many of those leaders have been accused of terrible crimes, there’s no denying communism around the world would not be the same without them. In remembrance of Fidel Castro’s December 2nd, 1961 speech wherein he declared that Cuba was to adopt Communism, WatchMojo.com counts down our picks for the top 10 communist leaders. For this list, we looked for political revolutionaries and communist leaders who had a major impact on the emergence and growth of Communist states throughout the world, in the twentieth century. See also community development.

Sebab-sebab kemenangan Komunis
Kemenangan yang dicapai oleh Parti Komunis tersangat cepat dan mengakibatkan kehancuran yang bukan sedikit. Sebahagian darinya adalah disebabkan oleh:
(a)KEKUATAN TENTERANYA SENDIRI, 
(b)DISIPLIN AHLI-AHLINYA YANG CUKUP BAIK, 
(c)KEPIMPINANNYA, 
(d)KEJAYAAN PROPAGANDANYA DAN 
(e)JUGA IMEJ NASIONALISNYA.
Kelengkapan tenteranya yang sebahagiannya ditawan dari tentera Jepun,setengahnya diperolehi dengan memberi rasuah kepada pegawai-pegawai kerajaan dan setengahnya ditawan dari bantuan Amerika kepada Kuomintang bukanlah rendah mutunya jika dibandingkan dengan peralatan tentera kerajaan. Ahli-ahli strategi mereka dengan bijaknya merancangkan langkah-langkah untuk memencilkan ketumbukan-ketumbukan Kuomintang dan memaksa mereka menyerah diri. Mereka tidak membazirkan sumber-sumber untuk cuba memusnahkan pihak lawan pada tiap-tiap pertempuran.
Pemimpin-pemimpinnya — orang-orang seperti Mao, Chu Teh, Lin Pias, Chou En-lai dan Ch’en Yi — pergi ke medan dan secara aktif terlibat dalam menyusun petani-petani menjadi tentera revolusioner dan melatih mereka. Dengan bekerja di kalangan penduduk-penduduk desa menyebabkan mereka lebih memahami petani-petani itu dari orang lain, terutama sekali jika dibandingkan dengan Kuomintang. Pengertian mengenai kaum petani inilah, yang dikuatkan lagi oleh pemahaman tentang masyarakat dan sejarah negeri China, yang menyebabkan Mao mengubah dasar revolusinya dari cara Russia, yang menggunakan pekerja-pekerja bandar sebagai dasar kepada caranya yang tersendiri iaitu menggunakan kaum petani, mengatasi kecurigaan dan pandangan rendah kaum intelektual yang pada masa akhir Perang Jepun telah menyanjung mereka sebagai nasionalis.
Sebahagian besarnya, kejayaan Komunis adalah disebabkan oleh kelemahan dan kegagalan Kuomintang yang telah menimbulkan kebencian scluruh bahagian penduduk. Pihak Kuomintang adalah penuh rasuah, dipengaruhi oleh pilih keluarga, bersikap diktator, mementingkan diri sendiri dan tidak memahami keperluan-keperluan rakyat. Kelemahan-kelemahan ini telah digunakan oleh Komunis untuk mendapatkan simpati dari orang ramai, walaupun mereka tidak selalunya menjadi pengikut-pengikut Komunis. Banyak bandar yang dikuasai oleh Kuomintang telah diambil-alih oleh Komunis kerana orang-orang yang mempertahankannya telah putus asa terhadap Kuomintang dan menyerah diri atau berpaling tadah. Saudagar-saudagar, ahli-ahli profesional, sarjana dan pegawai-pegawai yang pernah menyokong kerajaan, kini takutkan kekerasan yang digunakannya. Apabila semakin ramai orang yang menentangnya, ahli-ahli Kuomintang dari lingkungan dalam yang terdiri dari ahli keluarga Chiang dan keluarga Soong (Soong adalah keluarga isteri Chiang) telah menjalankan penangkapan dan pembunuhan politik iaitu satu tugas yang diamanatkan kepada pasukan polis rahsia Kuomintang. Liga Demokratik, satu parti kaum intelektual, telah dihapuskan dengan tindakan tindasterus ke atas ahli-ahlinya. Dalam keadaan politik yang buruk ini tidak siapa pun yang merasa selamat. Inflasi yang melampau telah melanda negeri itu dan salah-urusan ekonomi telah menyusahkan petani dan juga ahli-ahli perniagaan. Akhirnya, kebanyakan orang tidak lagi mahu membantu kerajaan melawan Komunis yang menyerang bandar-bandar kerana mereka telah mcmbuat keputusan bahawa Kuomintang tidak berkebolehan memerintah negeri China. - Khoo Kay Hock


Education - Why Poverty? In ancient times in China, education was the only way out of poverty -- in recent times it has been the best way. China's economic boom and talk of the merits of hard work have created an expectation that to study is to escape poverty. But these days China's higher education system only leads to jobs for a few, educating a new generation to unemployment and despair.

Documentary: Made in China; China how technologically developed

CHINA: REVOLUSI, NATIONALISME & KOMUNISME
1. PENGENALAN

Apabila meletusnya pemberontakan di negeri China pada 10 Oktober 1911, kesan serta-merta dan kesan jangkapanjang yang dialami oleh negara itu adalah lebih dari sebarang pemberontakan dalam keseluruhan sejarah negara tersebut. Namun, pemberon­takan dalam masyarakat tersebut bukannya suatu yang ganjil atau luar biasa. Sesungguhnya, ia adalah satu cara yang diterima untuk menggantikan kerajaan-kerajaan lama dan lemah dengan rejim yang baru dan bersemangat. Apabila keadaan di bawah pemerintahan sesuatu dinasti itu telah terlalu buruk dan apabila sampai ketikanya untuk dinasti baru memerintah, pemberon­takan adalah satu-satunya cara yang diketahui untuk mendatangkan perubahan. Penerangan mengenai ini terletak pada konsep ‘Mandat dari Syurga’. Sejajar dengan konsep ini, apabila sesuatu dinasti memerintah dengan cukup sempurna dan negara itu menunjukkan tanda-tanda aman dan makmur ianya adalah direstu dengan ‘Mandat dari Syurga’. Ianya akan dianggap sebagai satu kuasa yang sah. Apabila keadaan aman dan makmur mulai merosot ke arah keruntuhan, dinasti yang memerintah disifatkan sebagai telah kehilangan mandat tersebut. Pada pandangan orang ramai penyingkiran dinasti itu hanya menunggu masa sahaja. Pemberontakan adalah unsur penting dalam teori ini kerana sesuatu pemberontakan itu adalah penunjuk muktamad dan tidak diragukan tentang penarikan balik Mandat dari rejim yang lalu.
Teori ini memberikan kepercayaan bahawa pemberontakan adalah sah apabila pemerintah tidak lagi direstu oleh Syurga. Tetapi bagaimanakah orangramai tahu sama ada rejim itu masih memegang Mandat tersebut ataupun ianya telah ditarik balik? Adalah logik bahawa oleh kerana Syurga memberi atau menarik balik Mandat tersebut, Syurga akan menunjukkan tanda-tandanya. Pentadbiran yang sempurna, pemerintah-pemerintah yang gagah dan berkebolehan, kemewahan ekonomi, perluasan empayar dan kemajuan seni — ini adalah di antara pencapaian-pencapaian sesuatu dinasti yang mempunyai Mandat itu. Rasuah, pemerintah-pemerintah yang lemah, kebuluran, kemarau, banjir, kenaikan harga barang-barang, pengangguran, merosotnya kesenian dan bertambahnya ancaman ‘orang gasar’ telah diambil sebagai tanda-tanda dari Syurga yang menunjukkan penarikan kembali Mandat itu.
Peristiwa Pemberontakan Taiping(1851—1864) pada mula- nya telah meyakinkan ramai orang bahawa Syurga telah menarik balik Mandatnya dari orang-orang Manchu. Segala tanda-tanda telah ada. Gerombolan-gerombolan penganggur telah merayau-rayau di daerah luar bandar, merompak atau meminta sedekah untuk hidup. Kebuluran dan banjir membawa penderitaan kepada petani-petani. Harga barang-barang yang tinggi dan kekurangan makanan membawa penderitaan kepada orang-orang kota. Rasuah menjadi-jadi dan ‘orang gasar’ dari Barat telah berada di luar pintu China dan mendesak hendak masuk. Malahan England telahpun mula bertapak ke dalam negeri China dengan mengalahkan China dalam perang 1893-1842. Apabila rejim Taiping hancur orang-orang China memahami yang orang-orang Manchu belum lagi hilang Mandatnya, tetapi dalam tahun-tahun yang berikutnya semakin jelas yang masanya hampir luput. Masalah-masalah sosial, ekonomi, dan masalah luar negeri bukannya bertambah baik tetapi semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal. Jadi, apabila anggota-anggota T’ung Meng Hui iaitu pengikut-pengikut Sun Yat-sen yang revolusioner itu, bangkit memberontak terhadap pihak yang berkuasa di Wuchang dalam tahun 1911, api pemberontakan itu telah merebak dengan tidak terkawal lagi.
Ianya adalah lebih dari hanya satu pemberontakan melawan pihak yang berkuasa. Dalam ertikata yang sebenarnya, ia adalah satu revolusi — satu peristiwa yang mengikis dasar-dasar struktur politik lama, menumbangkan institusi-institusi tradisional dan membawa perubahan ke arah evolusi satu masyarakat baru walaupun sukar dan memakan masa yang lama. Pemberontakan-pemberontakan sebelumnya hanya menggantikan kerajaan tanpa mengganggu susunan masyarakat China. Sebelum 1911, selama lebih dari 2 000 tahun, tidak ada perubahan di negeri China dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan sosial.
Nasionalisme
Semangat nasionalis menjadi semakin nyata di akhir-akhir abad kesembilan belas dan di awal abad kedua puluh. Dalam tahun 1894 Britain telah menyerahkan keistimewaan-keistimewaan wilayah asingannya kepada Jepun dan diikuti oleh Kuasa-kuasa Barat lain. Ini mendorong orang-orang China untuk menuntut hak-hak wilayah asingan di negaranya ditamatkan. Pemberon­takan Boxer 1899-1900, sebagai satu reaksi kekerasan terhadap akibat-akibat yang tidak diingini dari pengaruh-pengaruh Kristian Barat dan pengaruh-pengaruh ekonomi terhadap masyarakat China, adalah satu peristiwa yang mempunyai kepentingan nasionalis. Dalam tahun 1905 orang-orang China memulaukan barang import dari Amerika Syarikat kerana penyekatan hijrah masuk China oleh Amerika Syarikat dianggap sebagai diskriminasi ras. Namun begitu, nasionalisme wujud terutama sekali dalam bentuk tentangan terhadap pencerobohan dari Barat.
Revolusi yang menjatuhkan dinasti Ch’ing (Manchu) yang memerintah lebih dari 250 tahun, adalah satu tanda kesedaran nasionalisme. Rakyat China telah menamatkan pemerintahan dinasti asing supaya dapat menegakkan semula sebuah kerajaan China. Revolusi ini telah merebak luas serta popular di hampir kesemua wilayah. Para intelek, tentera, penuntut-penuntut, penghuni kota dan petani-petani telah bergabung dan bersatu bagi menentang kerajaan. Kesemuanya telah digerakkan oleh rasa benci terhadap orang Manchu dan kemarahan terhadap pentadbiran yang buruk yang telah membawa penderitaan dan penghinaan kepada negeri itu. Walaupun perasaan anti-luar negeri adalah sebab dan gejala nasionalisme, ianya tidak mewakili nasionalisme dalam bentuk yang paling maju. Dalam keadaan yang paling baik ianya adalah merupakan nasionalisme yang negatif di mana perasaan nasionalis itu ditimbulkan sama ada secara langsung atau pun tidak, sebagai satu reaksi terhadap orang-orang asing. Dalam bentuk ini, nasionalisme kekurangan tenaga ikatan yang nyata seperti nilai-nilai, ideologi dan aspirasi yang sama.
Orang-orang China tidak kekurangan ciri-ciri budaya yang sama — ras, bahasa, kebudayaan dan agama — yang menjadi ramuan nasionalisme dalam bentuk positifnya. Walaupun demikian, kesedaran nasional orang-orang China pada tahun 1911 dan untuk beberapa tahun selepasnya tidak mempunyai dasar yang luas mahupun kekuatan tenaga dan intensiti yang diperolehi dari nilai-nilai, ideologi dan aspirasi yang sama. Pada masa Revolusi perkara utama yang jelas tidak wujud ialah pergerakan massa yang boleh menjadikan nasionalisme satu tenaga penyatu dan membekalkan satu dasar meluas sokongan penuh rakyat seperti yang berlaku di India atau Indonesia atau di Perancis. Di Perancis, (pada 1789) terdapat kedua-dua pergerakan massa dan nilai-nilai bersama. Orang-orang Perancis bukan sahaja bercita-cita untuk mempertahankan negaranya tetapi juga untuk meluaskan ideal-ideal revolusi mereka ke luar negeri melalui peperangan. Revolusi China tidak dapat membanggakan adanya seorang pemimpin yang telah menyatukan rakyat menjadi satu tenaga yang kukuh seperti yang dilakukan oleh Gandhi di India dan Sukarno di Indonesia. Sun Yat-sen tidak terkenal di China dan sebelum revolusi, beliau telah menghabiskan masanya selama lima belas tahun dalam pembuangan. Di negeri China tidak ada kumpulan kelas menengah seperti yang terdapat di Perancis yang dapat memimpin rakyat dan memahami kehendak orang ramai. Kumpulan republikan Sun, T’ung Meng Hui,yang bergerak secara rahsia, tidak dapat bersama dengan rakyat atau menyampaikan ideologinya kepada mereka.
Perjalanan Revolusi China dan akibat selepasnya telah ditunjukkan oleh kepentingan yang berbeza. Walaupun keadaan sifatnya yang tersebar luas dan spontan itu, terdapat bukti tentang kesetiaan yang kuat kepada wilayah dan kepentingan serta pengaruh yang terbatas kepada sesuatu mazhab. Satu dari faktor-faktor yang telah membangkitkan kemarahan rakyat se­belum Revolusi adalah rancangan kerajaan pusat untuk membina landasan keretapi. Di samping takutkan rasuah dan pembaziran wang negara, mereka juga bimbang kehilangan kuasa autonomi wilayah akibat dari adanya usaha memperbaiki lagi perhubungan keretapi dengan Peking. Kepentingan-kepentingan bersifat mazhab muncul semasa kumpulan Sun Yat-sen berdamping dengan Yuan Shih-kai dan jeneral-jeneralnya. Pengikut-pengikut Sun telah menubuhkan kebolehpercayaan mereka sebagai pemimpin-pemimpin revolusi, terutama sekali di wilayah-wilayah selatan. Yuan dan jeneral-jeneral dalam Tentera Imperial yang diperintahnya akhirnya bergabung dengan kumpulan republikan Sun untuk alasan yang berbeza. Mereka tidak langsung berminat dengan perjuangan untuk republikanisme dan demokrasi nasio­nalis yang dianjurkan oleh Sun. Bagi mereka Revolusi adalah satu peluang untuk merampas kuasa kerana mereka yakin bahawa dinasti Manchu tidak dapat diselamatkan lagi. Mereka telah berjaya menguasai banyak wilayah di utara. Sebaliknya tidak dapat dikatakan bahawa rakyat biasa telah menjunjung ideal-ideal yang sama seperti kumpulan nasionalis Sun. Mereka tidak lang­sung mempunyai aspirasi yang sama selain dari keinginan untuk menghapuskan orang Manchu.
Berikutan dengan kejayaan Revolusi, kumpulan republikan Sun telah membentuk Parti Kuomintang. Pilihanraya umum telah diadakan pada tahun 1913 dan dewan perhimpunan yang terlantik mulai menyusun satu kerajaan bentuk demokrasi. Namun, lima belas tahun yang berikutnya, ideal-ideal nasionalis itu hanya dianuti oleh sebilangan kecil dari penduduk negeri. Dalam tempoh masa dua tahun setelah pembentukan republik demokratik itu telah terpaksa memberi jalan kepada kediktatoran Yuan Shih-kai. Anggota-anggota Kuomintang, secara umum diakui sebagai nasionalis, mendapati diri mereka ditindasterus dan terpaksa menyembunyikan diri. Dalam tempoh beberapa tahun seterusnya negeri China telah berpecah-belah dari segi politik dan jeneral-jeneral yang mengakui diri mereka sebagai hulubalang (‘tuchuns’), serta mengisytiharkan diri mereka sebagai pemerintah-pemerintah berautonomi di wilayah-wilayah yang telah mereka kuasai semasa Revolusi. Para nasionalis yang telah lari ke China selatan menemui kesukaran untuk mendapat- kan sokongan bagi menyatukan negeri China. Perpecahan berlarutan selama beberapa tahun. Sungguhpun Kuomintang akhirnya dapat menegakkan pemerintahannya pada tahun 1928 ia tidak dapat menguasai keseluruhan keadaan. Beberapa orang hulubalang tertentu yang telah membantu Kuomintang mencapai kejayaan, terpaksa diberi penguluran agar mereka terus bekerjasama dan setia. Mereka mengekalkan tentera mereka dan juga kuasa pentadbiran ke atas wilayah-wilayah mereka.
Walau bagaimanapun, selepas Revolusi, negeri China yang baru secara perlahan mulai sedar dan perasaan nasionalisme menjadi semakin jelas dalam pemikiran dan tindakan pemuda- pemudi China — terutama sekali di kalangan pelajar-pelajar. Sejak usaha pemulihan Maharani Balu di masa sepuluh tahun terakhir pemerintahan Manchu, satu revolusi intelektual telah berlaku. Pelajar-pelajar telah dibenarkan melanjutkan pelajaran ke luar negeri dan matapelajaran-matapelajaran baru telah diajar di dalam negeri. Idea-idea yang telah didedahkan kepada mereka telah menimbulkan minat untuk mempelajari matapelajaran baru seperti sains dan ilmu matematik serta konsep baru dalam politik seperti demokrasi dan nasionalisme. Revolusi 1911 dan peristiwa-peristiwa berikutannya seperti kediktatoran Yuan Shih-kai, kebangkitan kehulubalangan, Tuntutan Dua Puluh Satu Jepun dan pengambil-alihan Shantung telah membangkitkan perhatian besar untuk negara itu di kalangan orang-orang ini. Perasaan nasionalis mereka telah dibangkitkan dan mereka telah bertindakbalas dengan menyatakan pendapat mereka secara aktif dalam penulisan mereka. Mereka telah mengadakan demonstrasi untuk membantah terhadap percubaan kuasa-kuasa luar hendak melanjutkan kepentingan-kepentingan mereka di negeri China. Pada 4hb. Mei 1919 satu mogok telah dilancarkan di Peking untuk membantah Persetiaan Versailles yang telah mengesahkan hak-hak istimewa Jepun di Shantung. Peristiwa hari itu adalah puncak kepada revolusi intelektual yang telah bermula dalam tahun 1900an. Revolusi intelektual pada keseluruhannya adalah disebu. sebagai Pergerakan Empat Mei, mengambil sempena dari peristiwa pada 4hb Mei yang menggambarkan pemiki­ran baru dan nasionalisme para intelek muda.
Pada masa yang sama penuntut-penuntut sedang cuba mendesak tuntutan-tuntutan nasionalistik mereka terhadap kerajaan Peking dan kuasa-kuasa asing, Kuomintang atau Parti Nasionalis sedang bersedia untuk menyatukan semula negeri China. Parti Komunis China telah ditubuhkan pada masa ini (iaitu dalam tahun 1921) dan ia juga berusaha untuk mendapatkan imej nasionalis kerana sebarang tenaga politik yang cuba menyelesaikan masalah-masalah negeri China mesti menghapuskan kekuasaan Barat dan penguluran asing. Sungguhpun mereka menerima ideologi asing, Komunis China akhirnya mengamalkan faham nasionalis dengan mengenepikan arahan-arahan fahaman Komu­nis Russia. Komunisme di negeri China telah mendapat satu ciri tersendiri.
Komunisme
Pihak Komunis China telah mendapat kepentingan awal hanya selepas mereka dibenarkan memasuki Kuomintang pada tahun 1923 apabila ejen-ejen Russia datang membantu penyusunan semula parti tersebut. Mereka telah berjaya mempengaruhi sebilangan besar anggota-anggota Kuomintang. Anehnya, pihak Komunis terus mendapat keuntungan dari pihak Kuomintang walaupun selepas dihalau keluar dari parti itu. Mereka menjadi bertambah kuat dan beruntung kerana kelemahan dan kesilapan parti Kuomintang yang telah menjadi parti pemerintah dalam tahun 1928. China sebagai sebuah negeri yang telah beratus- ratus tahun menentang pengaruh Barat telah dijalari oleh faham Komunis, yang juga satu pengaruh Barat, dalam tempoh masa yang begitu singkat. Dalam tahun 1949 pihak Komunis telah memaksa kerajaan Kuomintang mencari perlindungan di Formosa dan kejayaan komunis telah dialu-alukan oleh para intelek, penuntut-penuntut universiti dan petani di seluruh negeri. Malah kelas-kelas profesional, tuan tanah dan peniaga juga berasa lega dengan kejatuhan Kuomintang yang mengamalkan rasuah dan pilih keluarga, sungguhpun merelca tidak dapat menerima Komu­nisme dengan sepenuh hati. Dua perkara harus diambil perhatian. Pertama, pergerakan Komunis di China pada tahun 1949 tidak lagi seperti pergerakan rakan imbangan dan pengasasnya di Russia. Di China ia telah menjadi pergerakan yang berorientasikan petani sementara di Russia ianya adalah pergerakan kelas pekerja. Unsur nasional telah berjaya menghapuskan unsur pengaruh asing dengan menimbangkan faktor bahawa China tidak begitu maju dalam perusahaan untuk mewujudkan sebuah kelas pekerja yang ramai, sedangkan bilangan kaum petaninya adalah besar sekali. Akibat dari jumlah petani yang begitu ramai ditambah lagi dengan masalah-masalah sosial dan ekonomi yang buruk, ramai petani telah kehilangan tanah kepada tuan-tuan tanah duduk luar. Dengan itu, golongan murba (proletariat) China adalah kelas petani. Keduanya, kejayaan Komunis bukanlah sebenarnya kejayaan ideologi tetapi lebih merupakan kejayaan kepimpinan, organisasi, tokoh-tokoh, strategi dan yang terpenting sekali ialah rancangan pemulihan sosial dan ekonomi yang berkesan. Kesesakan penduduk, hujan dan kemarau yang keterlaluan, sungai- sungai besar yang tidak terkawal, tanah dataran yang meluas, kesemuanya telah menjadi punca bencana kebuluran dan banjir yang berulang-ulang. Masalah yang sering timbul ialah dalam pembahagian makanan. Sebarang rejim telah dipertimbangkan dari rekodnya dalam mengatasi masalah-masalah ini — pembaha­gian biji-bijian dari kawasan-kawasan yang tidak dilanda bencana kepada kawasan yang mengalaminya, bantuan kebajikan, penye- katan kenaikan harga barang dan memberikan tanah kepada yang tidak bertanah. Kepincangan-kepincangan sosial, ekonomi dan pentadbiran kerajaan Manchu telah membuatnya tidak dapat diterima lagi. Kerajaan Kuomintang juga turut mengalami masalah yang sama. Di antara kesilapan-kesilapannya yang nyata, iajuga gagal menyelesaikan rungutan sosial dan ekonomi rakyat teru- tama sekali golongan petani. Pihak Komunis kini mempunyai kedudukan yang baik pula dibandingkan dengan Kuomintang kerana janji-janji pemulihan mereka dan rekod pembahagian tanah mereka di kawasan-kawasan di mana mereka berkuasa. Dedikasi dan kebolehan orang-orang yang memimpin seperti Mao Tze-tung dan Chou En-lai, dan disiplin di kalangan organi­sasi Parti Komunis sendiri memberi kesan kepada rakyat lebih dari ‘harimau kertas’ Chiang Kai-shek dan Kuomintang yang dikuasai oleh keluarga sendiri. Ahli-ahli keluarga Chiang dan Soong (keluarga isteri Chiang Kai-shek, Soong Mayling) telah membuat rakyat hilang kepercayaan terhadap parti nasionalis.
Pihak komunis berkebolehan untuk menjadikan kemalangan suatu kejayaan. Mereka sangat bergantung kepada propaganda dan kebolehan mengeksploitasi kesempatan. Dalam tahun 1934, tentera kerajaan telah menghalau mereka dari kubu mereka di selatan. Untuk mengelakkan kekalahan sepenuhnya pihak Komu­nis telah memutuskan untuk mengalih pusat operasi mereka ke wilayah barat laut China, iaitu Shensi. Untuk selama setahun yang berikutnya mereka telah bergerak merentas negeri sambil cuba menghindar diri dari bertembung dengan tentera. Perarakan Panjang mereka telah berjaya. Walaupun kerugian mereka besar, mereka telah berundur ke satu pengkalan yang lebih selamat yang jauh dari pengkalan kuasa Kuomintang di selatan. Tidak lama selepas tamatnya Perarakan Panjang itu Jepun telah mula menyerang. Dalam propaganda mereka, pihak Komunis meng- gambarkan yang pengunduran ke utara adalah sebagai satu lang- kah untuk mendapatkan satu tempat yang sesuai bagi melawan Jepun yang telah memulakan operasinya di China Utara. Dengan menggunakan propaganda sekali lagi, pihak Komunis telah menunjukkan kesediaan mereka bergabung dengan kerajaan KMT dalam satu Barisan Bersatu untuk melawan pihak penakluk. Dengan bergabung kuasa tentera dengan pihak kerajaan, pihak Komunis telah mengambil kesempatan untuk membawa kejatuhan Kuomintang tanpa mereka melakukannya sendiri. Sementara Komunis tinggal dalam keadaan yang agak selamat di bahagian pedalaman negeri, kerajaan terpaksa berperang dengan orang- orang Jepun di barisan hadapan untuk mempertahankan kawasan-kawasan dan bandar-bandar pantai. Sebagai yang telah dijangkakan oleh Komunis, tentera Jepun yang lebih lengkap telah memaksa tentera kerajaan berundur dan memecahkan pentadbiran Kuomintang. Perang Jepun memberi sumbangan yang besar bagi melemahkan pihak Kuomintang dan mempertinggikan imej pihak Komunis. Semasa tentera Kuomintang berada dalam keadaan kacau-bilau pihak Komunis meneruskan tentangan gerila terhadap musuh. Adalah tidak mungkin bagi mereka untuk mengusir musuh dari bumi China tetapi ini telah menunjukkan yang merekalah nasionalis. Apabila pihak Komunis dan Kuomin­tang berlawan sekali lagi selepas Jepun menyerah, kerosakan yang diakibatkan oleh Jepun ke atas kuasa tentera dan pentad- biran Kuomintang telah memberi keuntungan kepada pihak Komunis. Selepas Perang Jepun pihak Komunis telah muncul dengan imej yang lebih baik dan dapat menguasai sebahagian besar kawasan luar bandar di bahagian utara. Dari tahun 1946 hingga 1949, Kuomintang yang telah lemah dan menghadapi banyak masalah selepas perang telah dikalahkan oleh pihak Komunis di satu bandar ke satu bandar berturut-turut. Dalam tahun 1949 pihak Komunis telah berkuasa di negeri China.

2 ASAL USUL REVOLUSI TAHUN 1911
Pada tahun 1644, orang Manchu dari luar Tembok Besar telah menggulingkan dinasti Ming China. Seperti lain-lain dinasti China yang terdahulu, Ta Ch’ing (dinasti Manchu asing) telah meneruskan tradisi pentadbiran awam yang sama berasaskan prinsip-prinsip Confucius. Seperti dinasti-dinasti tersebut, Ta Ch’ing telah mengalami zaman gemilang dalam perluasan wilayah dan pencapaian dalam beberapa bidang serta mempunyai peme­rintah-pemerintah yang berkebolehan. K’ang Hsi (memerintah: 1661-1722) dan cucunya Ch’ien Lung (memerintah: 1736 — 1796) adalah dua orang pemerintah yang terbaik. ‘Mandat dari Syurga’ tidak pernah lebih utuh dari semasa era Ch’ien Lung yang dikatakan sebagai pemerintah yang ulung. Seperti dinasti- dinasti sebelumnya, pemerintah-pemerintah yang berkebolehan telah digantikan oleh orang-orang yang kurang berminat menja- lankan tugas-tugas pejabat dan tidak berjaya mengawal pegawai- pegawainya. Mereka tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah sosial dan ekonomi yang semakin buruk sebab penduduk yang telah sedia ramai telah bertambah dengan kadar yang cepat. Abad yang kelapan belas adalah satu zaman perkembangan penduduk yang luarbiasa. Menjelang bermulanya abad kesembilan belas bilangan penduduk telah meningkat dua kali ganda sejak permulaan abad sebelumnya.
Zaman pemerintahan orang-orang selepas Ch’ien Lung - Chia Ch’ing (1796—1820), Tao Kuang (1820-1850) dan Hsien Feng (1850—1861) — adalah ditandakan oleh keadaan-keadaan sosial dan ekonomi yang semakin buruk dan bertambahnya pertentangan dengan ‘orang gasar’ asing (dalam kes ini orang Barat) sementara kerajaan yang penuh rasuah tidak tahu bagaimana hendak mengatasi masalah-masalah tersebut. Rasa tidak puas hati berlipat ganda dan mencetuskan Pemberontakan Tai­ping sebaik sahaja Hsien Feng menaiki takhta kerajaan. Pembe- rontak-pemberontak Taiping hampir-hampir menamatkan kuasa Ch’ing. Untuk selama lebih kurang empat belas tahun kekuasaan Manchu tidak terdapat di China selatan kerana dinasti Taiping berkuasa di sana. Dalam tahun 1864 pemberontak-pemberontak itu telah dikalahkan dan pemerintahan Manchu telah dipulihkan ke seluruh negeri. Dinasti Ta Ch’ing telah diberi satu kesempatan untuk hidup lebih lama walaupun ia telah hampir dimusnahkan keseluruhannya. Akibat dari pemberontakan itu menunjukkan bahawa Mandat dari Syurga belum lagi ditarik balik. Orang-orang China percaya bahawa ini adalah kerana tidak ada pemerintah yang lebih berkelayakan untuk menggantikan pemerintah Manchu. Meskipun rekod beberapa orang Maharaja Manchu yang terakhir itu didapati buruk, Hung Hsiu-chuan, ketua golo­ngan Taiping, dan gerombolan pemberontakbukannyapengganti yang sesuai dan oleh kerana itu, pemberontakan mereka tidak direstui oleh Syurga. Setengah orang China percaya bahawa orang Manchu, jika dilanjutkan mandatnya, akan memperbaiki kesilapannya dan menyelesaikan masalah-masalah yang ada. Yang lain-lain yakin bahawa orang-orang Manchu tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah tersebut dan kejatuhan dinasti Manchu hanya menunggu masa sahaja. Apabila muncul seorang pemimpin pemberontak yang sesuai orang-orang Manchu akan tetap jatuh. Dengan itu, kejatuhan dinasti Taiping itu telah dilihat oleh beberapa pihak sebagai hanya satu selingan sebelum tindakan terakhir. Mereka yang memikirkan orang-orang Manchu dapat memperbaiki diri semula mengharapkan pemulihan. Namun, tidak ada pemulihan yang berkesan yang dijalankan sejak akhir Pemberontakan Taiping sehingga ke akhir abad kesembilan belas. Langkah-langkah yang tidak bersungguh-sungguh telah diperkenalkan dalam Pergerakan Mengukuhkan Diri Sendiri (1860- 1894) tetapi mereka gagal untuk memperbaiki keadaan negeri. Pemulihan yang diisytiharkan oleh Maharaja Kuang Hsu dalam tempoh masa seratus hari pada tahun 1898 telah dihapuskan oleh Maharani Balu Tz’u Hsi, yang mendapat sokongan dari kelas pemerintah Manchu dan pegawai-pegawai China yang konservatif. Jadi dengan keadaan itu China memasuki abad kedua puluh dengan masalah-masalah yang sama seperti yang telah dihadapinya untuk berabad-abad yang telah lalu dan yang telah mencetuskan Pemberontakan Taiping. Pemulihan yang akhirnya dilancarkan oleh Maharani Balu terlalu terlambat dan tidak mencukupi untuk memuaskan sungutan yang menjadi lebih teruk disebabkan oleh penderitaan yang berlarutan. Kedu- dukan kewangan China juga menghalang usaha-usaha pemulihan. Menjelang masa ini, orang-orang yang memikirkan tentang pemu­lihan juga telah putus asa untuk mendapat sebarang kemajuan yang tulen melainkan berlakunya satu perubahan kerajaan.
Di tengah-tengah usaha melancarkan rancangan pemulihan, pihak revolusioner di dalam dan di luar negeri sedang menyebar- kan propaganda revolusioner, membangkitkan perasaan anti- Manchu, berkempen untuk mengembalikan pemerintahan orang China dan bersiap sedia untuk menentang pihak Ch’ing. Walau­pun para revolusioner gagal untuk mendapatkan sokongan dari kebanyakan rakyat China, perasaan marah orangramai terhadap orang Manchu telahpun meningkat. Hampir kesemua masalah negeri China berlegar di sekeliling keadaan-keadaan sosial, eko­nomi dan pentadbiran. Penghinaan yang dialami di tangan kuasa- kuasa Barat dan Jepun telah menunjukkan ketidakcekapan pihak berkuasa Manchu dan pencerobohan orang-orang luar yang terus- menerus menyebabkan pengaliran keluar perbendaharaan China melalui pembayaran gantirugi. Dengan itu Revolusi mungkin dapat dikatakan sebagai berpunca dari empat kategori utama:
A Masalah orang Barat.
B Kegagalan yang berlanjutan untuk menyelesaikan penderi­taan sosial dan ekonomi.
C Kemusykilan-kemusykilan politik.
D Pergerakan revolusioner.
Masalah mengenai orang Barat
Satu fakta yang harus difikirkan ialah bahawa orang-orang Manchu adalah penakluk negeri China. Kekuatan tenteranya lebih tinggi dari tamadunnya. Sebagai satu kelas pemerintah minoriti orang-orang Manchu telah menekan rakyat China dan mengambil langkah untuk melemahkan mereka. Orang China tidak dibenarkan berkahwin dengan orang Manchu. Mereka juga tidak dibenarkan menubuhkan sebarang persatuan atau pertubuhan kerana takut kalau-kalau ia menjadi pusat-pusat, plot anti-kerajaan. Walaupun sarjana-sarjana China berjaya menyan- dang jawatan-jawatan pegawai yang penting, jawatan-jawatan tertinggi adalah dikhaskan untuk putera-putera Manchu yang tidak perlu membuktikan bakat mereka. Lelaki-lelaki China dipaksa bertocang. Tentera yang tetap tidak ada, militia diwujud-
kan pada masa-masa perlu dan dibubarkan selepas kekacauan berlangsung, seperti dalam kes Tentera yang Sentiasa Berjaya yang dengan cepat dibubarkan selepas Pemberontakan Taiping. Jelaslah orang-orang Manchu berasa takut bahawa satu pasukan tentera yang terdiri dari rakyat China mungkin membahayakan.
Meningkatnya aktiviti-aktiviti Barat di negeri China dan kejatuhannya di tangan orang-orang Barat dan Jepun telah merun- tuhkan imej kekuatan orang-orang Manchu. Di sepanjang abad kesembilan belas rakyat melihat dengan penuh putus asa tentang kelemahan pemerintah mereka yang asing itu. Ini juga mungkin satu alamat bahawa Mandat dari Syurga telah ditarik balik. Bagi dinasti-dinasti awal, bukanlah satu perkara yang luarbiasa bagi masa-masa akhir rejim yang memerintah itu berhadapan dengan serangan-serangan ‘orang gasar’. Seratus tahun yang akhir pemerintahan dinasti Han pada mulanya telah diganggu oleh Hsiung-nu dan kemudian oleh Tung-hu. Tahun-tahun akhir dinasti Sung adalah penuh dengan usaha menentang orang-orang Mongol yang kemudiannya berjaya menakluki China. Orang- orang Mongol (dinasti Yuan) sendiri telah diserang oleh puak Tartar dari utara sebelum diganti oleh dinasti Ming; dan dinasti Ming, tentu sahaja mengalah kepada serangan-serangan orang Manchu. Sekarang orang-orang Manchu sedang diancam oleh orang-orang asing dari Barat. Orang-orang China menganggap orang-orang luar ini sebagai ‘orang gasar’juga. Mereka bermegah dengan kemahiran berperang tetapi menunjukkan sedikit sahaja pencapaian kebudayaan. Mereka membawa candu untuk menghapuskan semangat negara. Mereka memaksa negeri China mem- buka pintu kepada pedagang dan mubaligh serta bersikap menen­tang segala yang dipercayai oleh orang-orang China. Orang-orang Manchu terpaksa mengiktiraf, walaupun secara enggan, persa- maan taraf kerajaan-kerajaan ‘orang gasar’ dengan menerima duta besar mereka dalam tahun 1860. Pampasan telah dibayar kepada mereka sejak Peperangan Inggeris-China dan jumlah yang besar harus dibayar lagi pada permulaan abad kedua puluh, ter- utama sekali selepas Kebangkitan Boxer tahun 1899—1900. Wang itu sangatlah diperlukan untuk rancangan pemulihan yang dimulakan pada tahun 1901. Penghinaan telah terus bertambah satu demi satu; masa yang paling buruk sekali adalah Pertarungan Penguluran pada tahun 1898. Kuasa-kuasa Barat dan Jepun membahagikan China kepada lingkungan-lingkungan pengaruh, dan tiap-tiap kuasa mempertahankan tuntutan mereka. Dalam tiap lingkungan, kuasa luar itu menguasai pengusahaan ekonomi dan mempengaruhi pentadbiran awam.Tidaklahhairan sekiranya kebencian terhadap orang-orang Barat dan Jepun itu begitu melampau. Begitu juga kebencian terhadap orang-orang Manchu berlipat ganda kerana merekalah yang dianggap bertanggungjawab membiarkan negeri China dihina. Sebaliknya, orang-orang China percaya yang sebuah kerajaan China baru mungkin dapat mem­beri tentangan kepada tuntutan orang-orang luar itu.
Kegagalan yang berlanjutan dalam menyelesaikan pen- deritaan-penderitaan sosial dan ekonomi
Dalam abad kesembilan belas, penduduk China yang berjuta orang itu adalah punca kesukaran-kesukaran sosial dan ekonominya. Di bawah pentadbiran Ming yang aman, perkembangan penduduknya adalah terlalu cepat berbanding dengan kawasan pertaniannya yang luas tetapi terhad itu. Penduduk ini terus meningkat dengan kadar yang tinggi di bawah pentadbiran Ch’ing. Pertambahan penduduknya sebanyak empat kali ganda dari 100 juta dalam tahun 1644 menjadi 400 juta dalam tahun 1850, adalah tidak seimbang dengan perkembangan kawasan pertanian dan telah mengakibatkan kepadatan penduduk yang sangat tinggi di kawasan-kawasan pertanian. 80% dari 400 juta orang telah bertumpu di kawasan pertanian yang kurang dari 20% wilayahnya. Ladang-ladang yang begitu sesak itu tidak dapat mengeluarkan hasil yang mencukupi untuk petani-petani yang begitu ramai bilangannya yang semata-mata bergantung kepada hasilnya. Petani-petani terpaksa berhutang dan apabila mereka gagal membayar balik hutangnya peminjam-peminjam wang merampas tanah mereka. Petani-petani semakin bertambah ramai yang menjadi penyewa tanah atau menjadi buruh ladang; yang lainnya terusir dari ladang mereka dan menjadi penganggur yang bertambah ramai yang akhirnya menjadi papa atau perompak. Mereka yang bernasib baik kekal sebagai petani akhirnya men- dapati yang mereka tidak dapat menyimpan hasil dengan banyak kerana terpaksa membayar cukai dan sewa yang tinggi, yang kedua-duanya sering dibayar dengan benda. Keadaan hidup mereka tidaklah lebih baik dari rakan-rakan mereka yang menganggur. Mereka selalu berada dalam keadaan miskin dan kela- paran disebabkan oleh banjir, kemarau atau wabak yang menimpa kawasan-kawasan yang luas dan merupakan perkara biasa dalam abad kesembilan belas. Satu kemarau yang teruk telah berlaku pada tahun 1832. Pada tahun 1833, bala kebuluran telah menimpa wilayah-wilayah Hunan dan Hupeh. Satu lagi bala kebuluran dalam tahun 1878 telah menyebabkan kematian sembilan juta jiwa. Langkah-langkah untuk menentang akibat mala-petaka ini tidak mencukupi disebabkan oleh sikap tidak ambil peduli dan ketidakcekapan kerajaan serta pegawai-pegawai yang mengamal rasuah yang telah menggunakan wang tabung bantuan untuk tujuan persendirian.
Penderitaan-penderitaan sosial dan ekonomi telah menghasilkan satu siri pemberontakan dalam abad kesembilan belas. Di antara yang amat serius sekali ialah Pemberontakan Taiping (1851—1864), Pemberontakan Nien-fei (1853—1868), dan bebe­rapa pemberontakan Muslim di beberapa tempat dalam empayar tersebut (antara 1855 dan 1878). Walaupun berlaku banyak pemberontakan dan pemerintahan Ch’ing di zaman Taiping hampir musnah, dinasti Manchu telah memasuki abad kedua puluh dengan keadaan yang kurang cekap, penuh rasuah dan tidak mengambil endah terhadap kesusahan rakyat jelata. Dalam Revolusi tahun 1911, petani-petani dengan cepat telah menyambut kebangkitan yang telah dimulakan oleh pihak revolusioner dan tentera di kota-kota. Kebanyakan petani China merasai kesukaran ekonomi lebih dahsyat dari kehilangan kuasa politik orang China atau penghinaan yang disebabkan oleh orang Barat.
Inisiatif untuk revolusi telah diberikan oleh kelas bandar yang tidak puas hati dengan keadaan politik. Ia merebak dan popular di wilayah tengah dan selatan kerana adanya sambutan dari kaum petani.
Kemusykilan politik
Secara tradisi kerajaan China adalah birokratik. Kepentingan telah diberikan kepada peperiksaan kerajaan dan calon-calon yang berjaya telah memasuki perkhidmatan pentadbiran. Pada namanya Maharaja menjadi pemerintah autokratik ke atas seluruh kawasan kekuasaannya tetapi oleh sebab faktor-faktor ilmu alam dan kesukaran perhubungan, pegawai-pegawai mempunyai kuasa untuk menggunakan kebijaksanaan sendiri dalam pentadbiran di peringkat wilayah. Semasa dinasti Manchu sistem ini telah dapat diterima oleh orang-orang China buat beberapa lama. Pertama sekali, ianya adalah sistem yang telah tahan diuji waktu dan telah menghasilkan taraf pencapaian yang tinggi di waktu-waktu yang lampau. Keduanya, kebanyakan pegawai terdiri dari orang-orang China. Rasa tidak puas hati terhadap sistem ini kemudiannya telah muncul kerana dua sebab. Satu ialah kerana kerajaan tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah sosial dan ekonomi dan tidak dapat menghadapi masalah menge- nai orang Barat, yang telah bagi pertama kalinya mendedahkan pentadbiran Manchu sebagai suatu yang usang. Ini ditambah pula dengan kemasukan idea-idea Barat mengenai politik ber- perwakilan dan bilangan orang China yang semakin bertambah menuntut institusi-institusi baru yang membolehkan orang ramai mengambil bahagian dalam hal menggubal polisi dan mengambil keputusan.
Kerajaan Manchu tidak membuat sebarang percubaan untuk memperkenalkan institusi-institusi politik baru dalam abad kesembilan belas. Walau bagaimanapun, sesudah kegagalan Pem­berontakan Boxer dan kekalahan Russia di tangan Jepun, Maha- rani Balu telah menyedari akan perkara ini. Mengapakah negeri China tidak dapat mencapai apa yang telah dilakukan oleh Jepun dengan begitu dramatik sekali? Jawabannya terletak kepada fakta bahawa negeri China tidak mempunyai sebarang perlembagaan. Negeri China, pada masa ini, seharusnya bersedia untuk sebuah kerajaan berperlembagaan. Tambahan pula, orang-orang China telah didesak dalam titah-perintah Sianfu tahun 1901 supaya bersatu dengan orang-orang Manchu bagi menguatkan negara. Sudah tentulah penyertaan orang-orang China dalam pentadbiran dalam lingkungan rangkakerja per- lembagaan adalah cara yang baik untuk menyakinkan orang China bahawa orang Manchu telah berubah sikap. Dalam tahun 1906 satu titah-perintah mengisytiharkan badan perwakilan rakyat telah dipersetujui. Dalam tahun 1908 Prinsip Perlem- bagaan telah dikeluarkan dan badan perwakilan wilayah telah dijanjikan untuk tahun 1909. Satu Perhimpunan Kebangsaan telah dirancangkan untuk tahun 1910. Ini akan diikuti pula oleh sebuah Parlimen menjelang tahun 1917. Badan perwakilan wila­yah dan Perhimpunan Kebangsaan telah diadakan sebagaimana yang telah dirancangkan. Jelaslah bahawa badan-badan tersebut hanyalah merupakan badan penasihat sahaja. Perlembagaan ditetapkan oleh peringkat atas dan Maharaja tetap berkuasa dalam semua perkara. Namun, masih banyak lagi perkara-perkara yang diperlukan dalam langkah-langkah perlembagaan itu dan rasa tidak puas hati tentang politik timbul di kawasan-kawasan bandar.
Walaupun kerajaan Manchu telah berjanji untuk mengadakan perundingan dengan orang China mengenai hal pentadbiran, kerajaan telah mengumumkan bahawa ianya akan memusatkan pentadbiran keretapi. Langkah ini seolah-oleh mencabar autonomi wilayah-wilayah yang telah menguasai pentadbiran keretapi di kawasan masing-masing. Lagipun, kerajaan terpaksa meminjam wang dengan banyaknya dari orang asing untuk membiayai pembinaan jalan keretapi. Rasa tidak puas hati yang disebabkan oleh faktor-faktor politik dan pentadbiran ini telah dirasai oleh mereka yang datang dari kelas-kelas yang mempunyai wakil dalam badan perwakilan wilayah; iaitu saudagar dan sarjana.
Dengan tamatnya Perang China-Jepun dalam tahun 1895, ramai orang China telah diselubungi oleh perasaan malu yang mendalam dan mereka menyedari bahawa tindakan positif mesti diambil untuk menguatkan negeri. Ini mendorong beberapa orang sarjana tertentu untuk mengadakan satu parti pemulihan untuk mengu­atkan negeri China di dalam rangka-kerja dinasti Ch’ing. Sarjana K’ang Yu-wei adalah yang terkemuka di kalangan ahli-ahli gerakan pemulihan ini; malahan dia telah memujuk Maharaja Kuang Hsu supaya bekerjasama dalam rancangan pemulihan yang sekarang dikenali sebagai Pemulihan Seratus Hari. Terdapat juga lain-lain cendekiawan yang merasa sangat terhina akibat kekalahan itu dan mereka tidak lagi dapat bersabar terhadap orang-orang Manchu. Tujuan mereka adalah untuk menghapuskan dinasti Ch’ing. Pada mulanya, ahli-ahli pemulihan itu adalah lebih popular tetapi kegagalan Pemulihan Seratus Hari menye- babkan ramai yang berputus harapan tentang berlakunya pemu­lihan. Dari masa itulah pergerakan revolusioner mula giat.
Di antara mereka yang bersemangat revolusioner itu ialah seorang pemuda yang telah cuba memulakan satu pemberontakan di Canton dalam tahun 1895 tetapi ia terpaksa melarikan diri kerana gagal. Beliau ialah Sun Yat-sen, seorang doktor perubatan Barat yang berpendidikan Inggeris dan pengasas Hsing Chung Hui, dan kemudiannya T’ung Meng Hui. Sun yang dianggap sebagai Bapa Republik China dan seorang nasionalis, anehnya telah menghabiskan masa pra-revolusionernya di luar negeri China. Dia tidak berada dalam negeri apabila Revolusi meletus pada tahun 1911, tetapi kegiatan revolusionernya telah membantu mencetuskan pemberontakan itu.
Sun, yang telah dilahirkan dalam tahun 1866 di kampung Choyhung, Kwangtung, telah pergi ke Hawaii ketika berumur empat belas tahun. Setelah menerima pendidikan Barat dia telah kembali ke kampungnya dan tinggal bersama dengan saudara lelakinya, yang tidak lama kemudian telah terkejut dengan sikap kritikal Sun terhadap tradisi orang China di sana, terutama sekali tentang pentadbiran, pendidikan dan amalan agama tradisional. Tidak lama kemudian, Sun telah menghadapi beberapa masalah dengan orang-orang kampungnya kerana ia telah mencela perbuatan mereka memuja patung-sembahan. Keluarganya terpaksa menghantar Sun keluar dari kampung itu. Kali ini ia telah pergi ke Hong Kong dan dalam tahun 1884, mendaftarkan diri sebagai penuntut di Queen’s College. Kemudian, dia memasuki kolej perubatan dan lulus sebagai seorang doktor ketika berumur 26 tahun.
Selepas menjadi seorang doktor buat satu masa yang singkat di tanah jajahan Portugis, Macao, Sun kembali ke negeri China. Keadaan-keadaan politik dan sosial begitu merunsingkan fikiran- nya sehingga dia telah yakin bahawa pemulihan tidak mungkin berlaku di bawah pentadbiran Manchu. Ini membuatkan dia giat dalam satu kempen menyebarkan rasa tidak puas hati untuk memulakan satu pemberontakan. Hsing Chung Hui (Persatuan Hidupkan negeri China) telah dibentuk di Hawaii pada tahun 1894, dan pada tahun 1895, sebagai permulaan dia telah cuba menawan ibupejabat kerajaan wilayah di Canton dengan bebe­rapa orang rakan. Kegagalan tindakannya itu telah memaksa ia lari ke Hong Kong dan sejak itu ia telah mengembara dengan luasnya ke Jepun, Asia Tenggara, Hawaii, Amerika Syarikat, England dan Eropah. Rancangannya sekarang ini ialah untuk mengutip derma dan memperolehi sokongan dari rakyat China yang tinggal di luar negeri untuk satu revolusi di negeri China. Dalam tahun 1905, dengan percantuman Hsing Chung Hui dan lain-lain kumpulan revolusioner, T’ung Meng Hui (Liga Bersatu) telah ditubuhkan. Rancangan T’ung Meng Hui adalah:
(i) memberontak; 
(ii) penubuhan sebuah republik; 
(iii) pembahagian semula tanah; 
(iv) menamatkan semua kawalan orang asing ke atas wilayah dan hak-hak istimewa ekonomi.
Liga ini telah mengadakan hubungan di negeri China dan menerbitkan akhbar di Jepun dan Shanghai yang mengutuk orang-orang Manchu. Ini telah disebarkan di negeri China. Satu siri pemberontakan telah diadakan di beberapa bahagian negeri itu untuk mendapat pengalaman dan untuk menguji kekuatan parti. Sudah tentu tindakan mereka itu telah tidak berjaya. Se- mentara itu, melalui propagandanya Sun telah mempengaruhi penuntut-penuntut yang semakin bertambah bilangannya yang belajar di Jepun. Setelah kembali ke negeri China, mereka telah dapat menjalankan propaganda revolusi Sun dan membuat per- sediaan untuk revolusi. Mereka sebaliknya telah menumpukan propaganda mereka terhadap tentera kerana, pertamanya, di kalangan tentera telah wujud rasa tidak puas hati di atas ketidak- cekapan orang Manchu dan, keduanya, adalah menguntung- kan jika sekurang-kurangnya sebahagian dari anggota tentera berada di pihak mereka andainya berlaku satu kebangkitan umum.
Sung Chiao-jen, salah seorang dari orang hubungan mereka di negeri China, telah mendirikan satu pengkalan di Shanghai. Pihak revolusioner telah mendapat pengikut yang ramai dari kalangan tentera di Wuhan dan telah dirancangkan bahawa gudang senjata di Hanyang akan membekalkan senjata dan peluru. Tentera-tentera di Hankow dan Wuchang juga telah dapat dipengaruhi untuk berpihak kepada pergerakan anti- Manchu. Secara umum, T’ung Meng Hui telah mendapat satu kumpulan pengikut di wilayah-wilayah selatan sehingga ke Lembah Yangtze termasuk Kwangtung, Kwangsi, Hunan, Hupeh dan Chekiang. Namun pengikut-pengikutnya adalah terhad kepada kumpulan-kumpulan penuntut yang tersusun dan tentera tetapi tidak tersebar luas di kalangan rakyat. Kesulitan-kesulitan penduduk adalah sebab bagi meletusnya pemberontakan semen- tara pergerakan revolusioner memberikan inisiatif, inspirasi dan kepimpinan awal dengan cara memulakannya di Wuchang pada lOhb Oktober 1911. Ini dengan cepat telah diikuti oleh kebang­kitan di Hankow dan Hanyang.
Sun Yat-sen telah memberikan satu sumbangan penting kepada pergerakan revolusioner dan dengan itu kepada Revolusi sendiri. Propagandanya telah menarik pengikut yang agak ramai untuk tujuan revolusi. Keadaan ini telah menghidupkan di kala­ngan kelompok tersebut, keinginan untuk satu order baru yang berdasarkan pada tiga Prinsip Rakyat (San Min Chu I) yang di- perkenalkan dalam tahun 1898 — kesatuan nasional, demokrasi dan keselamatan sosial yang bermakna memberi layanan istimewa kepada kelas-kelas yang lebih miskin. Beliau telah memujuk orang-orang asing untuk mengekalkan dasar perkecualian jika meletus kebangkitan umum menentang orang-orang Manchu. Bila pemberontakan bermula dia telah berjaya menghalang satu pinjaman wang yang telah diuruskan oleh sebuah bank di England untuk orang-orang Manchu. Dasar perk'ecualian kewangan ini telah dipatuhi di sepanjang masa pemberontakan itu. Kehabisan wang adalah satu faktor besar yang menyebabkan kerajaan mahu mengadakan perundingan kerana tentera kerajaan di bawah Yuan Shih-kai seolah-olah dapat menguasai tentera revolusioner di separuh selatan negeri China. Pihak revolusioner juga menghadapi masalah kewangan tetapi derma orang-orang China dari seberang laut yang telah dikutip oleh Dr. Sun telah dapat mem­beri sumbangan besar untuk beberapa bulan yang pertama.


3. REVOLUSI DAN AKIBATNYA
Pada 9hb Oktober 1911, ketika anggota-anggota parti republikan yang revolusioner sedang bersedia dengan penuh semangat untuk melakukan pemberontakan, secara tidak sengaja sebuah bom telah meletup di markas besar mereka di Hankow. Kejadian ini telah diikuti oleh satu serangan polis dan ramai dari mereka yang nama-namanya tercatit dalam satu senarai yang didapati semasa serangan itu telah ditangkap. Dengan itu pihak revolu­sioner terpaksa menyerang kerajaan dengan segera. Tentera- tentera yang tidak setia telah mula bertindak di Wuchang pada lOhb Oktober 1911. Mereka telah memaksa Kolonel Li Yuan- hung untuk menjadi pemerintah tentera pemberontak walaupun ia sendiri tidak terlibat dalam tujuan mereka. Wuchang jatuh ke tangan pemberontak dengan diikuti oleh Hankow dan Hanyang.
Semasa kejadian ini berlaku, di Szechuan telahpun berlaku kekacauan di mana orangramai sedang mengadakan tunjuk perasaan terhadap polisi pemusatan-keretapi dan telah menyerang ‘yamen’ Viceroy. Sungguhpun kejadian di Szechuan itu tidak ada kaitan dengan peristiwa di Wuchang, ia telah menyulitkan lagi usaha kerajaan untuk menyelesaikan pemberontakan di Wuchang.
Kejayaan awal pihak revolusioner di Wuchang, Hankow dan Hanyang telah menjadi isyarat kepada anasir-anasir lain yang tidak puas hati, yang berada di kota-kota lain untuk bangun menentang kerajaan. Dalam bulan yang sama dengan cepat Ichang, Changsha, Kiukiang dan Hsianfu telah menyertai pihak Revolusi. Banyak kota lain juga telah memberontak dengan sendirinya tanpa menerima arahan dari parti revolusioner. Hanya selepas itu barulah mereka menjemput parti revolusioner untuk datang mengambil-alih kuasa, ataupun mereka mencapai persefahaman dengan parti ini dengan menghantar wakil untuk mengambil bahagian dalam satu majlis revolusioner di Nanking. Pergerakan revolusioner telah mendapat kejayaan besar di China selatan sehingga ke Lembah Yangtze bila keseluruhan wilayah jatuh ke tangan mereka. Pemberontakan telah berlaku di kalangan tentera di beberapa bahagian wilayah utara tetapi pada umumnya kebanyakan wilayah tersebut masih taat kepada kerajaan dan pergerakan revolusioner Sun Yat-sen yang peng- kalan kuasanya terletak di bahagian selatan tidak dapat menguasai kebanyakan kawasan ke utara Yangtze.
Semasa pemberontakan sedang berlaku orang Manchu telah mengadakan satu pentadbiran berperlembagaan sebagai menyambut tuntutan-tuntutan Perhimpunan Kebangsaan yang telah bersidang pada 22hb Oktober. Yuan Shih-kai telah dilantik menjadi Perdana Menteri pada 8hb November. Sebagai satu langkah untuk meredakan kemarahan rakyat, percubaan ini telah gagal. Pihak revolusioner terus menentang tetapi tentera imperial di bawah pemerintahan Yuan Shih-kai masih bertenaga. Pihak revolusioner tidak berjaya menembusi kawasan utara sementara orang-orang Yuan berjaya mengalahkan mereka dalam beberapa pertem- puran. Bagaimanapun, satuperkembanganbarusekarangmuncul. Keadaan kewangan di kedua belah pihak telah merosot sekali dan satu kebuntuan dalam peperangan itu mungkin berlaku. Yuan telah mengatur perundingan dengan pihak revolusioner. Menjelang masa itu satu majlis revolusioner telah ditubuhkan untuk bertindak bagi pihak keseluruhan pergerakan tersebut. Majlis ini mengiktiraf pengaruh pihak republikan dan pada 29 Disember 1911 ia telah melantik Sun Yat-sen sebagai Presiden sementara Republik China. Pihak revolusioner telah hadir di majlis perundingan itu dan menuntut supaya kerajaan beraja ditamatkan dan Republik diperakui. Kedua-dua pihak sangat ingin mendapatkan penyelesaian kerana keadaan kewangan mereka dan mereka tidak dapat mengharapkan pinjaman asing sebab orang-orang asing memegang dasar perkecualian kewangan. Yuan yang bercita-cita besar dan seorang petualang sedang membuat rancangan untuk faedah dirinya sendiri. Penawaran jawatan Presiden yang dibuat oleh Dr. Sun kepadanya telah menyelesaiakan masalah itu. Dia telah memujuk orang Manchu supaya melepaskan kuasa mereka dan sebagai gantinya satu  penyelesaian kewangan yang baik akan dibuat dan ia juga men- janjikan keselamatan bangsa Manchu. Pihak revolusioner bersetuju dengan syarat-syarat ini. Pada 12hb Februari 1912,Maharaja kanak-kanak itu telah turun takhta dan keseluruhan kuasa kera­jaan Manchu telah diserahkan. Dr. Sun telah meletakkan jawatan Presiden sementara pada 15 Februari dan atas nasihat Dr. Sun majlis revolusioner telah melantik Yuan Shih-kai menjadi Presiden sementara Republik yang baru dibentuk itu.
Dr. Sun menawarkan jawatan Presiden kepada Yuan pada masa perundingan adalah sebagai satu galakan untuk memujuknya menyakinkan orang Manchu supaya menyerahkan kuasa. Ada lagi lain-lain sebab mengapa tindakan ini diambil. Dr. Sun menyedari kedudukannya sendiri yang sangat lemah di bahagian utara China di mana kedamaian dan undang-undang wilayah berada di dalam tangan gabenor-gabenor tentera yang pernah berada di bawah perintah Yuan. Kalau Dr. Sun kekal sebagai Presiden gabenor-gabenor tentera dan Yuan sendiri mungkin tidak akan memberi sokongan kepada rejimnya dan negeri China akan berpecah-belah. Di sebaliknya, dengan Yuan sebagai Presiden, Dr. Sun dapat mendesak pihak Republikan menerimanya demi kepentingan kesatuan negara. Untuk sebab yang sama pihak Republikan bersetuju dengan desakan Yuan untuk menge- kalkan Peking, pengkalan kuasanya, sebagai ibu negeri meskipun pihak Republikan lebih cenderung untuk menjadikan Nanking ibu negeri. Yuan adalah seorang pentadbir yang berpengalaman dan negarawan yang dihormati oleh negara-negara Barat sedang- kan Dr. Sun tidak ada pengalaman sebagai pentadbir dan Barat mengenalinya sebagai seorang revolusioner sahaja. Adalah diharapkan bahawa bila Yuan memegang teraju pentadbiran China akan berada dalam keadaan yang baik untuk mendapat pengikti- rafan sebagai sebuah republik baru dan mendapat pinjaman wang dari luar. Yuan juga boleh menggunakan pengalamannya yang luas itu untuk membantu penyusunan pentadbiran. Rupa- nya, Dr. Sun tidak menimbangkan cita-cita Yuan dan sikapnya yang kurang yakin terhadap demokrasi. Sebenarnya, Dr. Sun sangat yakin pada sistem berparlimen hingga membuatkan dia percaya bahawa, sebaik sahaja perlembagaan dan parlimen ditubuhkan, cita-cita Yuan akan diimbangi oleh jentera sistem tersebut serta keghairahan rakyat untuknya kerana ini akan membolehkan rakyat menggunakan hak-hak mereka dan mengambil bahagian dalam kerajaan. Dr. Sun tidak meramalkan tindakan- tindakan melampau yang akan diambil oleh Yuan.
Kediktatoran Yuan
Yuan Shih-kai secara rasmi telah dilantik menjadi Presiden Re­publik China pada lOhb Mac 1912. Perlembagaan sementara juga lahir pada hari itu. Sejajar dengan perlembagaan ini, struktur kerajaan adalah terdiri dari Presiden, satu Kabinet dengan kuasa eksekutif dan satu Perhimpunan Kebangsaan berdwi dewan dengan kuasa perundangan. Untuk sementara waktu satu Majlis Penasihat Kebangsaan di Nanking menjalankan fungsi perunda­ngan sehingga satu pilihanraya umum diadakan pada musim bunga tahun 1913. Dengan adanya pilihanraya ini satu Perhim­punan Kebangsaan atau Parlimen, mengandungi sebuah dewan Senat dan sebuah Dewan Perwakilan telah ditubuhkan tepat pada waktunya. Sidangnya yang pertama diadakan pada 18hb April 1913 di Peking.
Kebanyakan dari mereka yang dipilih ke perhimpunan ini adalah terdiri dari anggota-anggota Kuomintang. Kuomintang adalah satu parti yang terbentuk hasil dari gabungan T’ung Meng Hui dengan lain-lain kumpulan revolusioner dalam tahun 1912 berikutan dengan penyerahan rejim Manchu. Wakil-wakil dari parti ini berazam untuk melihat supaya Kabinet dan Perhimpu­nan Kebangsaan sepatutnya menjalankan kuasa dan bukannya Presiden. Di samping tidak percayakan Yuan yang bercita-cita tinggi dan yang tidak bersimpati terhadap tujuan republikan, Kuomintang menghendaki sistem demokratik di mana badan perundangan, iaitu wakil-wakil rakyat yang dipilih, harus men­jadi badan tertinggi dengan Kabinet bertanggungjawab kepadanya dan Presiden hanya mempunyai kuasa simbolik sahaja. Tugas Perhimpunan itu adalah untuk memilih Presiden dan menggubal satu perlembagaan tetap. Yuan telah dilantik sebagai Presiden dan diisytiharkan pada lOhb. Oktober 1913. Draf perlembangaan telah siap pada 26hb. Oktober 1913, tetapi sebelum Perhimpunan itu dapat membuat pengundian terhadapnya, Yuan telah mengharamkan Kuomintang (4hb. November 1913) atas tuduhan menjadi satu parti yang menghasut. Ahli-ahli Kuomintang tidak dapat mengambil kerusi mereka dalam Perhimpunan dan oleh sebab itu badan ini telah digantung sebab tidak ada korum. Sungguhpun Perhimpunan tidak dimansuhkan secara rasmi, penggantungannya mengakhiri proses berparlimen dan Presiden telah tinggal sebagai orang berkuasa penuh dalam pen­tadbiran.
Tindakan Presiden adalah puncak dari satu perseteruan antaranya dengan Kuomintang sejak masa Majlis Penasihat Ke­bangsaan lagi. Pada masa itu Presiden sementara dan majlis tersebut telah bertelingkah mengenai pemilihan sama ada Peking atau Nanking dijadikan ibu negeri, perlantikan ahli-ahli Kabinet dan issue kewangan. Pertelingkahan mengenai kewangan ber- punca dari perjanjian pinjaman yang dibuat oleh Yuan dengan satu kumpulan ahli-ahli bank dari lima buah negeri (Konsortium Lima Kuasa yang terdiri dari England, Perancis Jerman, Russia dan Itali). Kuomintang telah menentang syarat-syarat yang di- kenakan oleh peminjam-peminjam, yang termasuk pengawasan terhadap perbelanjaan wang pinjaman tersebut, dan cara-cara bagaimana Yuan mendapatkan pinjaman itu. Dia telah mendapat persetujuan Majlis Penasihat Kebangsaan sebahagian besarnya secara rasuah (majlis ini terdiri dari perwakilan dari semua wila­yah dan tidak dikuasai oleh Kuomintang) dan menyelesaikan perjanjian itu sebelum Perhimpunan Kebangsaan dapat bersidang selepas pilihanraya umum. Terdapat juga lain-lain peristiwa yang meruncingkan lagi permusuhan antara Presiden dan Kuomintang. Pada bulan Mac 1913, salah seorang dari pemimpin Kuomintang, Sung Chiao-jen, telah dibunuh dan dengan ini telah wujud rasa curiga yang kuat bahawa Yuan telah mula melakukan pembunu- han lawan-lawan politiknya. Menjelang bulan Julai, satu kekacauan telah meletus di lembah Yangtze. Kekacauan ini dikenali sebagai ‘Revolusi Kedua’ atau ‘Revolusi Musim Panas’. Ia hanya memberi peluang untuk Presiden menjalankan langkah-langkah tegas terhadap lawan-lawannya sebagai tindakan lanjutan untuk menghapuskan pemberontakan. Terdapat anggota-anggota Kuo­mintang yang telah terlibat dalam pemberontakan tersebut dan ini kemudiannya membolehkan Presiden membubarkan Kuomin­tang yang dianggap sebagai parti penghasut.
Dengan tergantungnya Perhimpunan Kebangsaan, Yuan mengambil langkah-langkah untuk menubuhkan satu struktur  pentadbiran yang selaras dengan cita-citanya untuk menjadi pemerintah tertinggi dan dengan keyakinannya terhadap satu sistem kerajaan autoritarian yang menjanjikan hasil — kedamaian, peraturan dan pembangunan — dengan lebih cepat dan kurang kekecohan sebab ianya telah menghapuskan perundingan dan bangkangan. Presiden telah menubuhkan satu Majlis Politik yang dipilihnya sendiri. Berikutnya satu Perjanjian Perlemba­gaan yang rapi telah digubal. Perlembagaan baru ini telah mem- beri semua kuasa kepada Presiden. Beliau akan melantik Setia- usaha Negara (menggantikan Kabinet) yang bertanggungjawab kepadanya dan untuk melantik ahli-ahli Majlis Negara yang hanya berfungsi sebagai penasihat sahaja. Dia boleh melanjutkan tempoh jawatannya lebih dari tempoh sepuluh tahun yang biasa atau ia sendiri boleh memilih penggantinya. Kediktatoran Yuan bercirikan penapisan suratkhabar, pengintip kerajaan, penyeliaan terhadap penyokong-penyokongnya yang menjadi penting sebab mereka berkebolehan untuk menimbulkan ten- tangan, taktik kekerasan dan pembunuhan politik. Badan-badan perwakilan wilayah telah dimansuhkan. Pengharaman Kuomin­tang, penggantungan Perhimpunan Kebangsaan dan pelaksanaan kuasa-kuasa kediktatoran tidak membangkitkan sebarang bang­kangan dari rakyat. Pertama sekali, Yuan telah memulihkan keamanan dengan tegas di kebanyakan wilayah walaupun melalui dan cara pemerintahan tentera yang menindas tetapi tegas. Gabenor-gabenor Tentera yang mengekalkan tenteranya sendiri di wilayah masing-masing sama ada telah memberikan kese- tiaan kepada Yuan atau menikmati kuasa dan keistimewaan sebegitu rupa hingga membuatkan mereka puas hati untuk membiarkan kediktatorannya begitu sahaja. Melalui mereka pihak berkuasa pusat mentadbirkan wilayah-wilayah dan mengekalkan keamanan. Keduanya, tidak wujud satu kelas menengah yang kuat untuk memimpin rakyat jelata dan mengambil-alih teraju kuasa dan dengan itu menggantikan pihak tentera. Ketiganya, rakyat jelata tidak memahami ideologi demokrasi yang abstrak. Lagipun, mereka mendapati bahawa demokrasi membenarkan pergaduhan di kalangan berbagai-bagai kumpulan (seperti dalam Majlis Penasihat Kebangsaan) dan langkah-langkah penghalang (seperti ketika Kuomintang menentang rancangan Presiden semata-mata dengan tujuan untuk menyekat kuasanya). Dengan  itu, di akhir tahun 1914 kedudukan Yuan adalah sangat teguh. Oleh kerana cita-citanya tinggi dan ia bersifat petualang, Yuan merasai bahawa sokongan yang didapatinya dan kekurangan tentangan akan membolehkannya melantik dirinya sebagai se­orang maharaja selagi kerajaan tidak berubah — iaitu mempunyai bentuk perlembagaan tetapi pemerintahnya mempunyai kuasa mutlak supaya keamanan, peraturan dan pembangunan dapat berjalan terus.
Pergerakan Monarki Yuan
Yuan sangat ingin menjadi Maharaja tetapi ia berpura-pura tidak mahu dan sekiranya ia bersetuju itu hanyalah kerana memenuhi kehendak ramai. Untuk tujuan ini, satu kempen propaganda telah dilancarkan untuk menggalakkan satu pendapat awam yang sesuai. Majlis Negara telah menyentuh tentang penawaran takhta kepada Yuan sebanyak tiga kali. Satu ‘Muktamar Wakil-wakil Warganegara’ yang terdiri dari orang-orang yang boleh dipengaruhi telah dibentuk dan ia telah meluluskan pengembalian monarki sebagaimana sepatutnya. Usaha yang begitu besar telah dilakukan untuk menunjukkan kemahuan dan restu negara kerana Presiden telah membayangkan bahawa Britain, Jepun, Russia, Perancis dan Itali menentang langkah itu. Kuasa-kuasa asing ini memberi perhatian besar agar China berada dalam keadaan stabil agar tidak ada kekacauan yang boleh mengganggu kepentingan-kepentingan mereka sewaktu berlakunya Perang Dunia I.
Negara tidak menyetujuinya secara keseluruhan. Satu pem­berontakan telah meletus di Yunnan dan berkembangke wilayah- wilayah lain — Hunan, Kwangtung, Kwangsi, Kweichow dan Szechuan. Tentangan juga telah berlaku di wilayah-wilayah utara. Di selatan pihak revolusioner Kuomintang yang telah diharamkan telah menggunakan kesempatan ini untuk membangkitkan semangat rakyat untuk melakukan satu pemberontakan terbuka melawan Yuan. Jeneral-jeneral di utara tidaklah begitu berminat untuk menaikkan Yuan sehingga ke jawatan yang sebegitu agung (Anak Syurga) dan mengetuai satu keturunan dinasti. Sungguhpun mereka setia kepada Yuan, kuasa tentera mereka sentiasa boleh dianggap sebagai satu cabaran kepadanya
kerana beliau sangat bergantung kepada mereka dan sering terpaksa mententeramkan mereka. Malah, golongan sederhana yang telah menyokong monarki berperlembagaan di zaman Manchu dulu telah bekerjasama dengan pihak pembangkang. Mereka ini merasai bahawa China pada masa itu harus menuju ke arah mendapatkan kedamaian, ketenteraman dan kestabilan. Dengan itu satu perubahan dalam bentuk negara adalah tidak diingini dan merosakkan. Liang Chi-chao, yang merupakan seorang ahli pemulihan lebih dari seorang revolusioner, adalah di antara yang berperasaan demikian. Bagaimanapun, kebanyakan orang tidak dapat menggambarkan Yuan sebagai seorang yang mem­punyai hak yang sah untuk menjadi Maharaja. Pihak Manchu telah menyerahkan alat kuasa kepadanya hanya untuk membo­lehkannya mengatur pembentukan sebuah republik. Dia mung- kin melakukan perubahan-perubahan dalam sebuah republik (sebagai yang telah dilakukan) tetapi untuk berubah kepada pemerintahan dinasti, hal ini tidak dapat diterima. Apabila dia menyedari bahawa rancangannya tidak akan berjaya dia mengisytiharkan bahawa republik itu akan berterusan. Pemberon­takan telah berlaku dalam bulan Disember 1915. Pada 6 Jun tahun berikutnya Yuan meninggal dunia. Kematiannya telah mempercepatkan keadaan-keadaan yang telah membawa negeri itu kepada kacau-bilau dan perpecahan politik untuk selama 10 tahun.
Kehulubalangan
Pada masa kematian Presiden, tentera bersendirian kecil dan besar telah banyak ditubuhkan di seluruh negeri. Malah jeneral- jeneral yang mengetuai tentera yang ramai telah menguasai keseluruhan wilayah. Dengan matinya Yuan, seorang demi seorang dari jeneral-jeneral ini telah mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan menerima perintah dari kerajaan di Peking. Kebangkitan kekuasaan dan keulungan mereka bermula sejak zaman revolusi 1911—1912 lagi. Menjelang akhir Revolusi, wilayah-wilayah telah jatuh kepada pihak berkuasa awam atau kepada kuasa tentera. Di selatan, di mana tentera revolusioner lebih berjaya, pihak berkuasa awam telah meneruskan pentadbiran selepas mengisytiharkan diri menyokong Revolusi. Namun, mereka biasanya adalah disokong oleh tentera-tentera tersebut yang dahulunya adalah tentera-tentera pertahanan tempatan atau militia. Ke utara Yangtze, di mana pergerakan revolusioner tidak berapa berjaya, jeneral-jeneral Tentera Imperial telah mempertahankan wilayah-wilayah di situ sehingga. jatuhnya rejim Manchu. Penguasaan wilayah-wilayah ini sudah tentu jatuh ke tangan jeneral-jeneral tersebut apabila jentera pentadbiran Manchu tiada lagi. Presiden Yuan melantik mereka menjadi gabenor-gabenor tentera dan menggunakan mereka dalam pentadbirannya. Selagi Yuan kekal menjadi Presiden mereka akan memberikan taat setia kepadanya kerana dia adalah bekas peme- rintah tertinggi mereka. Cita-cita dan tamak membuatkan mereka mengisytiharkan kemerdekaan selepas kematian Yuan. Mereka enggan menyerahkan cukai dari wilayah mereka kepada pihak berkuasa pusat.
Dengan menggelarkan diri mereka sebagai hulubalang (‘tuchuns’), jeneral-jeneral tersebut telah berperang antara satu dengan lain untuk meluaskan lagi wilayah-wilayah penguasaan mereka sebab ini akan menambah lagi kuasa dan pendapatan mereka. Mereka yang lebih berkuasa bercita-cita untuk menguasai kerajaan di Peking. Ia masih diiktiraf sebagai kerajaan kebangsaan yang sah. Kerajaan Peking telah mengekalkan hak menerima sebarang lebihan hasil kastam setelah membayar hutang dan pampasan. Kerajaan asing terus berurusan dengannya dan oleh itu ia mempunyai kuasa untuk mendapat pinjaman-pinjaman asing. Ia mempunyai dasar untuk menuntut kesetiaan negara walaupun pada ketika itu ianya adalah tuntutan kosong sahaja. Perjuangan untuk merebut kerajaan Peking bermula sebaik sahaja Yuan mati. Li Yuan-hung, Naib Presiden, telah menjadi Presiden, Hulubalang Tuan Chi-jui kekal menjadi Perdana Menteri. Presi­den Li telah cuba memulihkan pemerintahan berperlembagaan dengan menubuhkan semula Perhimpunan Kebangsaan. Tuan dan Perhimpunan dengan serta-merta telah terlibat dalam satu perselisihan. Issuenya ialah mengenai penglibatan China dengan pihak Berkuasa dalam Perang Dunia I. Tuan menyokong dan Perhimpunan membantah. Perselisihan ini berakhir dengan satu kumpulan hulubalang menyokong Tuan dan memaksa Presiden membubarkan Perhimpunan. Keunggulan Parlimen tidak disukai
oleh hulubalang. Li sendiri meletakkan jawatan sebab ia mendapati dirinya di bawah kekuasaan hulubalang.
Seorang hulubalang yang berpengaruh, Feng Kuo-chang (Naib Presiden kepada Li), menjadi Presiden. Apabila Perhimpu­nan keluar dari pertandingan untuk menguasai pentadbiran, pertandingan itu sekarang tinggal hanya antara Presiden dan Perdana Menteri. Tuan telah berjaya. Feng dan Tuan telah bergabung tenaga dengan lain-lain hulubalang untuk membentuk puak-puak tertentu. Puak Tuan telah menguasai pentadbiran Peking dari tahun 1918 hingga tahun 1920. Kemudian hulu­balang Manchuria, Chang Tso-lin, telah menghalau Tuan keluar dari Peking dan menguasai kerajaan. Dia telah dibantu oleh Wu Pei-fu yang kemudian melawannya dan memaksanya berundur ke Manchuria pada tahun 1922. Dalam menjalankan tugas ini Wu Pei-fu telah mendapat seorang sekutu, Feng Yu-hsiang. Wu menguasai Peking antara tahun 1922 dan tahun 1924 tetapi mengalami nasib buruk seperti mereka-mereka sebelumnya apa­bila Feng Yu-hsiang menggantikannya dan mengambil-alih kuasanya di Peking. Dengan cara ini, kuasa ke atas kerajaan di Peking selalu bertukar tangan dari seorang hulubalang kepada yang lain. Setiap kali berlaku perubahan kuasa, kabinet juga turut berubah anggotanya tiap-tiap satunya adalah kerajaan boneka dalam tangan puak hulubalang yang tertinggi.
Sewaktu keadaan yang sedemikian berlaku di utara, Kuo­mintang yang telah dihidupkan semula telah mendirikan sebuah kerajaan di Canton menandingi rejim Peking. Di sini juga hulu- balang-hulubalang Kwangtung dan Kwangsi sangat kuat hingga- kan rejim Kuomintang juga merupakan satu kuasa boneka seperti yang di Peking.
Negeri China di zaman kehulubalangan bukan sahaja berpecah-belah dari segi politik tetapi pentadbiran dan keadaan hidup di sana telah sampai ke taraf yang paling rendah sekali. Mereka yang berkuasa tidak mempunyai matlamat yang terpuji, tiada berprinsip dan tidak mempunyai rancangan pembangunan sosial dan ekonomi. Hanya pihak Kuomintang yang telah mem- buat perubahan untuk menyatukan semula negeri China bagi mencapai prinsip-prinsip Dr. Sun. Hulubalang hanya berminat untuk mendapatkan wang dan kuasa. Di samping sentiasa ber­perang mereka juga terlibat dalam aktiviti-aktiviti jahat. Mereka mengaturkan perniagaan candu dan menjual jawatan-jawatan pegawai. Mereka memeras ‘wang perlindungan’ dari saudagar-saudagar yang sah dan juga dari kongsi-kongsi yang terpaksa membayar supaya dapat meneruskan perniagaan mereka. Mereka memberi rasuah kepada mahkamah-mahkamah keadilan. Di kawasan desa, tentera mereka telah menindas, merompak dan membunuh petani-petani tanpa takutkan hukuman kerana hulubalang-hulubalang tidak mengambil endah tentang disiplin atau tidak dapat membayar gaji mereka. Tuan-tuan tanah takut­kan pemerasan dan khuatirkan tentang nyawa mereka. Mereka tinggal di bandar-bandar dan menggajikan ejen-ejen, selalunya anggota kongsi gelap, untuk mengutip cukai. Ejen-ejen ini, dengan kerjasama tentera secara diam-diam, telah memaksa petani-petani membayar cukai yang berlebihan. Sesiapa yang membantah akan ditembak.
Tahun-tahun kehancuran ini berakhir pada tahun 1928 apa­bila Kuomintang, selepas menyusun kuasa tenteranya sendiri telah mengalahkan hulubalang, tetapi hanya selepas ia mendapat ikrar kesetiaan dari kebanyakan hulubalang yang kuat di antara mereka — Chang Hsueh-liang, Feng Yu-hsiang, Yen Hsi-shan, dan hulubalang-hulubalang di Kwangsi dan Kwangtung. Penguluran-penguluran sudah tentu harus diberi kepada mereka tetapi ini adalah harga yang harus dibayar oleh Kuomintang demi untuk mendapat sebuah negeri China yang bersatu.

Di tahun-tahun di mana China telah dipecah-belahkan oleh anasir- anasir yang menjalankan tindakan yang berlawanan dengan kepentingan kebangsaan iaitu, hulubalang-hulubalang - perjuangan pihak nasionalis semakin gigih. Ia telah mengambil dua bentuk. Satu ialah peijuangan tentera-berserta-politik yang ber­laku di kalangan Kuomintang. Yang lagi satu ialah usaha penun- tut-penuntut universiti mempengaruhi kerajaan dan masyarakat untuk bersikap lebih progresif untuk pembangunan negara. Dalam perjuangan mereka, Kuomintang atau Parti Nasionalis bekerja ke arah menyatukan semula wilayah-wilayah dan menu- buhkan sebuah kerajaan yang beridentitikan nasionalis. Objektif terakhirnya adalah untuk membebaskan orang-orang China dari eksploitasi orang-orang asing dan menyediakan untuk mereka satu sistem ekonomi dan politik yang dapat diterima dan mem- beri kebaikan kepada semua. Kaum intelek penuntut ini ber- usaha membebaskan masyarakatnya dari cengkaman falsafah konservatif Confucius yang tidak menggalakkan kebebasan berfikir. Mereka menggunakan berbagai media untuk menghubungi bilangan rakyat yang lebih ramai dengan idea-idea mereka. Mereka melibatkan diri dalam percubaan yang dijalankan oleh negara untuk menyelesaikan masalah-masalahnya. Mereka berharap dapat memberi sumbangan kepada penyusunan satu masyarakat yang bebas, bersatupadu dan progresif.
Seperti yang telah kita lihat, revolusi intelek- tual telah bermula, pada mulanya perlahan-lahan, di dekad akhir pemerintahan Manchu. Ramai penuntut telah didedahkan kepada pengaruh-pengaruh intelektual yang baru semasa mempelajari matapelajaran baru di luar dan dalam negeri. Dengan tamatnya pemerintahan dinastik, pintu untuk aktiviti intelektual terbuka apabila pembelajaran matapelajaran baru berkembang dan kesempatan untuk melahirkan perasaan bertambah. Apabila Yuan dan kemudian hulubalang-hulubalangnya menjerumuskan negara ke dalam keadaan kediktatoran dan kucar-kacir politik, keben- cian yang dihasilkannya telah membuat sarjana-sarjana dari generasi baru berazam untuk mengambil bahagian dalam pembentukan masa depan negara. Pendek kata, revolusi intelektual telah menghasilkan minat terhadap negara dan keinginan untuk bertindak kerananya.
Kaum cerdik-pandai muda telah menghasilkan tulisan-tulisan yang mengkritik Confucianisme di samping menarik perhatian kepada nilai-nilai baru seperti demokrasi dan pengajian sains dan ilmu matematik. Banyak penerbitan akhbar, jernal dan majalah telah muncul. Mereka memberi peluang kepada kaum intelektual untuk membuat komen mengenai politik, falsafah, teori-teori sosial dan kesusasteraan. Setengah dari majalah-majalah penting itu adalah ‘New Youth’ (Hsin Ch’ing Nien) yang diasaskan oleh Chien Tu-hsiu, seorang Dekan di Universiti Peking; ‘New Tide’ atau kemudiannya dinamakan ‘Renaissance’ yang dianjurkan oleh penuntut-penuntut Universiti Peking; dan ‘Weekly Review’ yangjuga satu penerbitan Universiti Peking. Dr. Hu Shih seorang tenaga pengajar di Universiti Peking telah mempopularkan loghat ‘pai hua’ atau ‘kuo ue’ melalui tulisannya. Tidak lama kemu­dian ‘pai hua’ telah digunakan dengan luasnya di seluruh negeri dalam semua bentuk penerbitan dan menjadi bahasa yang diterima oleh sarjana-sarjana baru. Di masa-masa lepas, sarjana-sarjana telah menulis dalam bahasa klasik dan memandang rendah akan ‘pai hua’ yang dianggap sebagai bahasa kasar yang digunakan oleh rakyat biasa. Tetapi sebagai satu bahasa rakyat ianya ada­lah satu perantaraan yang dapat digunakan dan difahami oleh ramai.
Kaum intelektual tidak sahaja mencurahkan perhatian mereka kepada perkara-perkara akademik. Mereka menuntut supaya hak wilayah asingan ditamatkan, pemulangan penguluran perlombongan dan keretapi yang dipegang oleh kuasa-kuasa Barat dan Jepun, dan pengembalian wilayah-wilayah yang pajakannya dipegang oleh orang asing. Mereka menyambut dengan marah Tuntutan Dua Puluh Satu Jepun dan pengambiIan Shantung oleh Jepun, yang kedua-duanya berlaku pada tahun 1915. Bantahan mereka sampai ke puncaknya apabila Persetiaan Versailles dalam tahun 1919 mengesahkan hak-hak istimewa Jepun di Shantung dengan mengadakan tunjuk perasaan di Peking pada 4hb Mei yang diikuti oleh pemogokan. Penuntut-penuntut telah menuntut supaya beberapa orang menteri, termasuk Menteri Kewangan dan Menteri Luar Negeri, yang difikirkan terlalu baik dengan Jepun, meletakkan jawatan masing-masing. Mereka telah memulaukan hasil-hasil keluaran Jepun dan mendesak wakil-wakil kerajaan supaya jangan menandatangani persetiaan tersebut. Ramai penuntut telah dipenjarakan tetapi bantahan-bantahan dan mogok itu terusberlaku. Akhirnya kerajaan telah mengalah dan menolak persetiaan tersebut. Menteri-menteri yang telah disuruh berhenti telah menyerahkan surat perletakan jawatan mereka. Pergerakan Empat Mei, yang membawa kepada kejadian-kejadian pada 4hb Mei 1919, pada amnya dianggap sebagai pergerakan intelektual dan penuntut-penuntut dalam zaman selepas revolusi. Ia mencerminkan perkembangan perasaan nasionalis.
Kebangkitan Kuomintang
Apabila revolusi tahun 1911 tamat, ahli-ahli Tung Meng Hui dan lain-lain kumpulan revolusioner telah bergabung untuk membentuk Kuomintang (Parti Nasionalis Demokratik) dalam bulan Ogos 1912. Menjelang bulan November 1913 anggota- anggotanya melarikan diri dari Peking selepas parti itu dimansuhkan oleh Presiden. Sekali lagi ia menjadi satu parti revo­lusioner sulit. Ia bergerak di China selatan dengan objektif untuk menyatukan semula negeri China. Ia telah menubuhkan sebuah kerajaan di Canton pada tahun 1917 yang bergantung kepada sokongan hulubalang tempatan. Dalam tahun 1920, satu penyusunan semula parti telah dijalankan kerana Dr. Sun telah mendapati bahawa mereka tidak membuat sebarang kemajuan pun untuk mencapai tujuan mereka walaupun telah beberapa lama diusir dari Peking. Sungguhpun ianya telah disusun semula Kuomintang tidak mempunyai satu susunan pentadbiran yang baik dan satu rancangan tindakan untuk mengambil semula negeri China dari golongan hulubalang. Dr. Sun tidak berpenga- laman dalam hal-hal kerajaan. Beliau lebih merupakan seorang pemikir dan bukannya pentadbir dan telah menghabiskan banyak masa dewasanya menjalankan kerja propaganda. Oleh sebab T’ung Meng Hui adalah satu persatuan sulit ia lebih banyak bergantung kepada pemimpin untuk membuat keputusan. Kuomin­tang masih mengikuti corak ini tetapi tugas yang ada di hadapan mereka adalah berlainan dan di luar kebolehan pemimpinnya. Kuomintang bukan sahaja perlu mengukuhkan organisasi partinya tetapi harus mengadakan satu pasukan tentera. Pada tahun' 1923 parti ini telah disusun semula sekali lagi. Kali ini Dr. Sun telah meminta perkhidmatan dari Komunis Russia. Kejayaan cemerlang yang diperolehi oleh Komunis atau Parti Bolshevik dalam merampas kuasa di Russia menunjukkan mutu kaedah-kaedah pertubuhan mereka. Dr. Sun telah membuat satu perjan- jian dengan utusan Soviet ke Timur Jauh, Adolphe Joffe, dan kemudiannya satu rombongan penasihat di bawah pimpinan Michael Borodin telah tiba di selatan China. Dr. Sun telah sang- gup menerima orang-orang Russia kerana mereka telah meyakinkannya bahawa adalah menjadi polisi mereka untuk menentang imperialisme. Ini adalah selari dengan tujuan nasionalistik Kuo­mintang untuk mendapatkan semula penguluran yang dipegang oleh kuasa-kuasa asing. Penekanan yang dibuat dalam penyusunan semula itu adalah ke atas disiplin, jentera pentadbiran, pembentukan satu rancangan tindakan untuk menyatukan se­mula China, dan penubuhan satu tenaga tentera sebab rancangan tindakan itu melibatkan satu kempen penaklukan terhadap golo­ngan hulubalang. Dalam mendapatkan bantuan dari Komunis Russia, parti Kuomintang telah membukakan keanggotaannya kepada Komunis China yang pada masa itu adalah bersekutu dengan Comintern (Komunis Antarabangsa) yang ditubuhkan oleh Russia. Idea di belakang jentera baru parti itu adalah untuk menggerakkan cawangan-cawangannya dengan melibatkan anggota-anggota mereka secara langsung dalam penguasaan aktiviti-aktiviti di kawasan masing-masing. Untuk tujuan ini, cawangan-cawangan telah ditubuhkan pada peringkat wilayah, daerah dan daerah kecil dengan jawatankuasa masing-masing. Urusan-urusan umum adalah di bawah arahan satu Jawatankuasa Kerja Pusat dan satu Jawatankuasa Pengawas. Penyusunan seperti ini membenarkan parti menjalankan urusan-urusannya dengan lebih berkesan. Namun begitu, Kuomintang masih tidak mempunyai tenaga tentera untuk melancarkan satu serangan terhadap jeneral-jeneral tersebut. Dalam bulan Disember 1924, Dr. Sun telah pergi ke Peking untuk membentuk satu kerajaan campuran dengan tiga orang hulubalang - Chang Tso-lin, Feng Yu-hsiang dan Tuan Chi-jui — yang akan mempercepatkan keka- lahan lain-lain hulubalang yang kurang kuat. Sun telah mati di Peking dalam bulan Mac 1925 tanpa menghasilkan sebarang perjanjian dengan mereka.
Kematiannya telah menghilangkan seorang yang dipatuhi oleh semua bahagian dalam Kuomintang, dan telah menimbulkan perselisihan di kalangan anggota-anggotanya. Parti itu mempu­nyai tiga bahagian: puak kanan, puak kiri dan Komunis. Puak kanan terdiri dari golongan liberal yang mahukan satu sistem pengusahaan bebas di mana kapitalisme boleh berjalan. Puak kiri yang mengandungi golongan sosialis menganjurkan polisi-polisi untuk meninggikan taraf pekerja dan petani dan langkah- langkah untuk menggubalkan undang-undang bagi membaiki keadaan bekerja dan gaji serta sewa yang lebih rendah. Langkah- langkah seperti itu akan menyekat satu sistem pengusahaan bebas dan mengakibatkan kemerosotan segala keuntungan dan juga kekuasaan ahli-ahli perniagaan, tuan-tuan tanah dan pengilang-pengilang. Dengan itu, puak kanan dan puak kiri telah bertembung dalam satu pergelutan untuk mengambil-alih kuasa parti. Dalam perlawanan ini, Komunis telah menyokong puak kiri kerana kedua-dua bahagian mengambil berat tentang kebajikan kaum pekerja dan petani. Pihak Komunis adalah sosialis pelampau yang bertujuan untuk menggulingkan kelas yang kaya, merampas semua harta benda dan menjadikan China sebuah negara Komunis. Buat ketika itu mereka berharap untuk ber- kuasa dalam Kuomintang dengan mengadakan satu perikatan dengan puak kiri dan menggunakan organisasinya yang telah siap sedia itu untuk meluaskan pengaruh mereka.
Kematian Dr. Sun juga membolehkan Chiang Kai-shek, seorang pemerintah tentera yang terlatih, untuk menggantikannya sebagai ketua parti. Pada tahun 1926, parti tersebut telah melancarkan serangan bahagian utaranya. Chiang sendiri telah mengetuai tentera tersebut dan telah menakluki sebilangan besar  kota-kota di selatan. Semasa dia tidak berada di markas besar parti di Canton, pihak Komunis telah merampas kuasa. Untuk sementara waktu Kuomintang berada di bawah arahan Komunis. Mereka memindahkan markas besar ke Hankow dan melucutkan jawatan Chiang sebagai Pengerusi parti. Dia juga telah kehilangan kedudukannya sebagai Pemerintah Tertinggi tentera Kuomintang. Namun begitu dia terus mengetuai tentera puak kanan dan se­lepas sedikit kelewatan, telah menawan Nanking dan menubuh- kan puak kanan di sana. Menjelang masa itu perasaan takutkan Komunis telah membuatkan ramai saudagar, ahli-ahli bank, ketua-ketua kesatuan buruh dan lain-lain anggota Kuomintang di Shanghai supaya menyokong Chiang. Puak kiri yang dipimpin oleh Wang Ching-wei juga turut bimbang akan penguasaan Komunis ke atas Kuomintang. Anggota-anggota puak kiri juga adalah nasionalis dan mereka tidak mahu melihat satu rejim di negeri China yang diarahkan dari luar negeri. Jeneral-jeneral seperti Feng Yu-hsiang, Yen Hsi-shan dan hulubalang-hulubalang di Kwangtung dan Kwangsi merasai bahawa kuasa mereka akan hancur apabila Komunis mengambilalih. Mereka berani bertaruh bahawa Chiang kurang berkebolehan untuk menghapuskan mereka apabila ia berkuasa. Mereka telah bersatu dengan pihak nasionalis. Dengan sokongan yang begitu kuat, pada tahun 1927 Chiang telah bergerak menentang Komunis di Hankow. Penasihat-penasihat Russia telah dihantar balik dan golongan Komunis China telah diusir dari parti dan ditindasterus. Pada awal tahun 1928 Chiang telah dilantik semula sebagai Pemerintah Tertinggi dalam kempen untuk penyatuan semula negeri China. Dengan berperang sebagai tentera Kuomintang, tentera puak kanan, tentera puak kiri dan tentera hulubalang telah menawan wilayah- wilayah di utara. Dengan jatuhnya Peking Kuomintang telah mendirikan sebuah kerajaan nasionalis bagi China yang telah di- satukan semula dengan markas besarnya di Nanking. Chang Hsueh-liang, hulubalang Manchuria yang baru dan anak kepada mendiang Chang Tso-lin yang telah menentang tentera Kuomin­tang, dengan itu mengikrarkan kewalakannya kepada kerajaan baru itu. Chiang sudah pasti akan memberi penguluran kepada hulubalang sekutunya tetapi tolak ansur mungkin tercapai kerana sekurang-kurangnya pemecahan Republik itu kini telah tamat. Dengan itu negara boleh meneruskan matlamat yang telah dijanjikannya untuk mencapai Tiga Prinsip Rakyat (San Min Chu I) yang telah dimajukan oleh Sun Yat-sen.

5. KEBANGKITAN KOMUNISME
Kejayaan pihak nasionalis pada tahun 1928 telah menamatkan satu perjuangan tentera yang sukar. Namun begitu, perjuangan yang hanya baru bermula adalah lebih sukar lagi. Sekarang se­bagai pemerintah Republik China, Kuomintang telah mewarisi masalah-masalah sosial dan ekonomi yang telah wujud berabad-abad lamanya. Mereka menghadapi tanggungjawab yang berat mencipta satu order politik baru yang pada pokoknya mempu- nyai bentuk yang berbeza dari apa yang telah dite.rima pada masa lampau. Selain dari itu, adalah tugas kerajaan baru itu juga untuk memulihkan keutuhan dan kedaulatan wilayah China dengan menghapuskan penguluran-penguluran yang masih di­pegang oleh kuasa-kuasa asing. Kuasa tentera sahaja tidak dapat membantu Kerajaan Kuomintang. Antara perkara-perkara yang diperlukan ialah sumber-sumber kewangan, pakar-pakar ekono­mi, ahli-ahli pentadbir yang berkaliber tinggi dan diplomasi. Yang penting ialah ia memerlukan keikhlasan, kejujuran dan minat yang tulen terhadap kebajikan rakyat. Dalam menghadapi tugas-tugas ini, Chiang Kai-shek telah salah membuat pertimbangan kerana memikirkan bahawa perhatian yang besar harus diberikan kepada ancaman Komunis. Dia telah mengabaikan masalah sosial dan ekonomi, menangguhkan janjinya menubuhkan satu order politik yang baru dan menggunakan hampir segala sumber dan tenaganya untuk mengalahkan Komunis. Di samping kesemua ini, ia tidak dapat menyekat rasuah dan pilihkeluarga yang berlaku dalam semua bahagian kerajaan. Rakyat bukan sahaja terus menderita tetapi mereka mula meragui sama ada Kuomintang betul-betul sebuah parti nasionalis dan demokratik dan sama ada ianya jujur membantu rakyat. Dengan lain-lain perkataan mereka tertanya-tanya apa yang telah terjadi kepada tiga prinsip pengasas parti — nasionalisme, demokrasi dan keselamatan sosial? Dengan membesar-besarkan kesalahan-kesalahan Kuomintang dan kepercayaan rakyat yang semakin goncang itu pihak Komunis telah menunjukkan diri mereka sebagai pilihan yang lebih baik dari Kuomintang. Dengan membuktikan kesanggupan dan kejujuran minat mereka terhadap kebajikan rakyat — misalnya, dalam pemulihan-pemulihan tanah dan menentang serangan Jepun — Komunis mencapai kemena- ngannya dalam tahun 1949.
Permulaan Parti Komunis China
Selepas Bolshevik beijaya merampas kuasa di Russia dalam tahun 1918, mereka telah membentuk Komunis Antarabangsa (Comin­tern). Tujuannya adalah untuk membantu negeri-negeri lain mencapai revolusi-revolusi kelas pekerja mereka. Wakil-wakil dari Comintern telah datang ke negeri China dan membantu pembentukan sebuah Persatuan bagi Pengajian Marxisma di Peking. Persatuan ini telah menarik beberapa intelektual ter- masuk Profesor Chen Tu-hsiu dan Mao Tse-tung, seorang pusta- kawan di sebuah universiti. Dalam tahun 1921 pihak Marxist yang setakat ini meminati Marxisme dari segi akademik telah membentuk Parti Komunis China bagi bertugas untuk satu revo­lusi kelas pekerja. Antara anggota-anggota pengasasnya adalah Mao Tse-tung dan Chou En-lai. Parti Komunis telah cuba me- nambah bilangan anggotanya di kalangan pekerja-pekerja di kawasan bandar. Di negeri China pekerja-pekerja di bandar tidak ramai kerana perindustrian terlalusedikit. Akibatnya, pergerakan Komunis gagal untuk berkembang dengan cepat. Dalam tahun 1923 pihak Komunis China telah memasuki pertubuhan Kuo­mintang bersama dengan penasihat-penasihat Russia. Dalam Kuomintang mereka berjaya menarik ramai pengikut dan merupakan satu bahagian yang kuat. Dalam 1926 bahagian Komunis telah menguasai Kuomintang tetapi dalam tahun yang berikut- nya, Chiang Kai-shek telah merampas kuasa semula. Berikutan dengan itu orang China Komunis telah ditindasterus. Pihak Komunis telah mencari perlindungan di bukit-bukit. Ini adalah halangan yang pertama bagi pihak Komunis tetapi dari keseng- saraan ini telah timbul satu keputusan bersejarah yang banyak menolong pergerakan Komunis untuk maju semula. Salah seorang dari yang berlindung di bukit-bukit tersebut ialah Mao Tse-tung. Pada masa itu ia telah yakin bahawa pergerakan Komunis di China tidak akan beijaya dengan mencari dasar sokongannya dari kalangan pekerja-pekerja di bandar sejajar dengan doktrin Komunisme Russia. Peringkat perindustrian di China adalah terlalu rendah. Rakyat kelas pekerja di kawasan- kawasan bandar adalah terlalu kecil. Sebaliknya, kaum petani China berjuta-juta ramainya. Di sinilah kemungkinan untuk membentuk satu dasar yang luas dan kuat untuk Komunisme. Petani-petani adalah miskin dan satu kelas yang diperas oleh tuan-tuan tanah. Kebanyakan dari mereka tidak mempunyai tanah dan dapat dianggap sebagai golongan yang sama dengan golongan proletariat bandar di Russia. Mao mulai mengatur kaum petani di sekitar Chingkangshan, di mana ia mendapat perlindungan, supaya menjadi satu angkatan Komunis. Chu Teh, yang telah memimpin angkatan Komunis melawan bandar- bandar, telah mengalami kehampaan dalam percubaan menga- dakan satu dasar kelas pekerja bandar. Oleh sebab itu beliau telah bersetuju untuk bersama dengan Mao dalam kempennya memujuk petani-petani. Orang-orang Russia dan pemimpin Komunis China yang ortodoks dalam Jawatankuasa Politik Pusat telah tidak bersetuju dengan arah yang dituju oleh Mao. Mao telah dibuang dari Jawatankuasa Politik Pusat. Namun begitu, beliau telah berjaya meneruskan pengambilan ahli dari kalangan petani dan membina angkatan Komunisnya sendiri kerana pihak Komunis telah berpecah-belah menjadi kelompok- kelompok yang terasing dan perhubungan di antara mereka atau dengan Russia sangat sedikit. Untuk mengambil hati dan menarik fikiran petani-petani, ramai tuan tanah dan pegawai Kuomintang telah dibunuh oleh pengikut-pengikut Mao. Tanah telah dirampas dari tuan-tuan tanah. Tanah ini telah dibahagikan di kalangan petani-petani sebagai satu langkah untuk mengadakan pemulihan tanah. Mereka menjauhi bandar-bandar dan telah melancar­kan perang gerila melawan tentera kerajaan. Kesilapan Chiang adalah keengganannya untuk menjalankan pemulihan bagi keuntungan petani-petani. Dia menuntut agar petani-petani menunjukkan sokongan mereka terhadap kerajaan terlebih dahulu. Sementara itu, ramai petani di selatan telah memberi makanan, perlindungan dan maklumat kepada pihak Komunis.
Menjelang tahun 1931, mereka menawan kawasan-kawasan yang luas di kawasan desa di Kiangsi, Hunan, Hupeh dan Kwangtung. Penguasaan ke atas kawasan-kawasan ini adalah berpusat di Kiangsi di mana satu pentadbiran yang dipanggil ‘Kiangsi Soviet’ telah ditubuhkan.
Perarakan Panjang
Chiang Kai-shek yang sangat yakin akan perang cara tentera telah mengarahkan serangan-serangan kuat terhadap pengkalan- pengkalan Komunis dalam satu percubaan untuk menghancurkan ancaman Komunis dengan cepat. Dalam tahun 1934 Komunis telah kehilangan kesemua pengkalannya melainkan Chiangkang- shan dan Juichin. Tentera Kuomintang telah mengepungmereka. Dalam masa berjuang untuk melepaskan diri dari sekatan Kuo­mintang tentera Mao membuat satu keputusan untuk keluar dari China selatan. Mereka telah berhijrah ke sempadan barat melalui Yunnan dengan berjalan kaki. Dengan merentas bahagian pergu- nungan, mereka menuju ke arah wilayah Shensi di barat laut. Peristiwa ini, yang terkenal sebagai Perarakan Panjang, bermula dalam bulan Oktober 1934 dan berakhir dalam bulan Oktober 1935. Kekalahan Komunis di selatan adalah satu lagi halangan bagi mereka. Tetapi seperti dalam tahun 1927, selepas membuat sesuatu keputusan yang penting mereka telah pulih dari kesukaran ini. Perarakan Panjang itu bukannya satu kejayaan bagi pihak Komunis. Ianya adalah satu pengunduran — satu penga- kuan kekalahan. Mereka menanggung penderitaan yang sangat hebat. Ramai dari mereka telah jatuh sakit kerana letih dan lapar akibat sentiasa diburu oleh tentera musuh yang menyebab- kan mereka sentiasa bergerak. Dengan hebatnya bilangan mereka telah merosot dari 100 000 menjadi 20000 orang. Namun begitu Perarakan Panjang itu telah membantu pergerakan Komunis untuk terus wujud. Dengan sentiasa bergerak di kawasan gunung dan mengelakkan diri dari bertempur secara berdepan dengan tentera kerajaan, pihak Komunis telah berjaya mengelakkan diri dari dimusnahkan. Mereka lebih selamat di pengkalan baru mereka di Yenan, Wilayah Shensi yang terletak jauh dari kubu Kuomintang di Lembah Yangtze dan kawasan-kawasan di selatannya. Yenan tidak mudah didatangi kerana daerahnya bergunung-ganang. Satulagi kebaikan yang diperolehi dari Perarakan Panjang ini ialah pihak Komunis telah dapat mengadakan hubungan yang lebih rapat dengan petani-petani di kawasan yang terpencil. Idea-idea Komunis yang dahulunya terbatas kepada kawasan-kawasan China Tengah dan China Selatan sekarang telah dibawa ke Utara China. Dengan berpindahnya mereka ke utara pihak Komunis menghampiri kawasan operasi Jepun. Orang-orang Jepun telah menguasai Manchuria dan Mongolia dan tentera mereka berada di Utara China untuk menguatkuasakan pengunggulan mereka di kawasan tersebut. Pihak Komunis mengakui bahawa mereka memilih pengkalan baru di utara itu adalah untuk menentang orang-orang Jepun. Propagan­da ini telah menambah lagi bilangan orang-orang dari kawasan-kawasan bandar yang bersimpati dengan mereka kerana kerajaan kelihatan seolah-olah cuba mengelakkan diri dari berperang melawan pihak yang menyerang.
Komunis telah menggunakan seberapa yang boleh tujuan mereka melawan musuh dari luar sebagai satu strategi untuk mendapatkan lebih ramai penyokong dari semua kelas orang China. Walaupun Yenan adalah tempat yang selamat, tetapi ia sukar dijadikan pusat meluaskan pengaruh. Pemulihan-pemulihan tanah yang dijalankan dalam masa Kiangsi Soviet tidak akan berapa berkesan di sana. Yenan adalah terlalu mundur dan terpencil. Penduduknya adalah miskin. Tanah tidak memberikan hasil. Tenaga manusia adalah kecil dan alat-alat senjata sangat sukar didapati. Keburukan fahaman tuan tanah tidak berapa ketara di China utara. Hanya lebih kurang 25% sahaja petani- petani di desa yang tidak mempunyai tanah. Di China Tengah bilangannya adalah 50%. Komunis sendiri sedang menghadapi kesusahan sebab makanan dan lain-lain bekalan tidak mencukupi. Dalam analisa terakhir, kesan Perarakan Panjang yang terbesar sekali datangnya dari propaganda penentangan mereka terhadap orang-orang Jepun.
Barisan Bersatu
Apabila Perarakan Panjang itu tamat di akhir tahun 1935 Chiang masih tetap berazam untuk menghancurkan Komunis. Ini didahulukan daripada beberapa reformasi petani-petani dan juga daripada ancaman Jepun yang semakin bertambah. Peristiwa Mukden pada bulan September 1931 telah diikuti oleh satu siri pertempuran di antara hulubalang Manchuria, Chang Hsueh-liang, dengan orang-orang Jepun. Chang telah dihalau keluar dan se­buah negara Jepun, Manchukuo, telah ditubuhkan di Manchuria. Pada tahun 1932 tentera Jepun telah cuba menghapuskan pemulauan barang-barang Jepun di Shanghai tetapi tentera China di sana telah melawan dengan hebatnya. Di antara tahun 1933 dan 1935 pengaruh ketenteraan Jepun dengan secara sistematik telah diperluaskan ke Mongolia dan kemudian ke China Utara. Dalam damai-sentara Tangku pada tahun 1933, kawasan Peiping-Tientsin di Wilayah Hopei (dahulunya Chihli) telah dijadikan kawasan cegah senjata dengan membenarkan pengunduran tentera China dari kawasan ini. Sebaliknya, tentera-tentera Jepun telah dibenarkan tinggal di bahagian-bahagian tertentu di sepanjang jalan keretapi Peiping-Tientsin-Shanhaikwan. Pada tahun yang sama, tentera Jepun telah menduduki Chahar. Dalam tahun 1935, selepas pihak Jepun mengadu bahawa pegawai-pegawai China di kawasan Peiping-Tientsin telah bertindak mela­wan kepentingan-kepentingan Jepun, Perjanjian Ho-Umetsu telah ditandatangani. Perjanjian ini membolehkan pemecatan pegawai-pegawai yang tidak disetujui oleh Jepun dan penghapusan sepenuhnya pertubuhan Kuomintang dari lingkungan kepentingan Jepun. Dalam tahun itu, pihak Kuomintang telah menganjurkan pembentukan Majlis Autonomi Hopei Timur dengan harapan pegawai-pegawai dan penduduk-penduduk di sana akan taat kepada Kuomintang sebagai balasan kepada pemberian autonomi mereka. Pentadbiran di situ kemudiannya telah dikuasai oleh Jepun. Kejayaan Jepun bukan sahaja didapati melalui paksaan tetapi juga melalui penguluran Kuomintang seperti Damai-senjata Tangku dan Perjanjian Ho-Umetsu.
Chiang telah membiarkan Jepun menambah kekuasaannya di China Utara kerana ia tidak mempunyai rancangan pertahanan dalam menghadapi tentera Jepun yang menyerang. Beliau percaya bahawa musuh dalam negeri (iaitu Parti Komunis) mesti dihapuskan dan negeri disatukan dahulu. Inilah yang dimaksudkan dengan polisinya ‘penyatuan sebelum penentangan’. Kaum intelektual, penuntut-penuntut dan ahli-ahli perniagaan benci  dengan kerajaan. Penuntut-penuntut telah mengadakan tunjuk perasaan dalam tahun 1935—1936 (Pergerakan Sembilan Disember). Sekarang orang-orang bandar telah merasa keciwa dengan sikap kerajaan sementara petani-petani telah menjauhkan diri terlebih dahulu.
Tanpa mengendahkan bantahan ramai, Chiang telah pergi ke Sian, ibu kota Shensi, untuk memimpin tentera di sana melawan Komunis. Mereka adalah tentera Chang Hsueh-liang, tetapi secara keseluruhan adalah di bawah perintah Chiang. Mereka enggan meneruskan perjuangan menentang Komunis. Chang sendiri yang bapanya telah dibunuh oleh Jepun dan yang telah dihalau keluar dari Manchuria, mahu memimpin tenteranya menentang Jepun. Mereka telah menahan Chiang dan enggan melepaskannya kecuali dia mengadakan satu damai-sentara dengan pihak Komunis dan menentang Jepun. Pihak Komunis telah berusaha dengan bersungguh-sungguh mengumumkan kesediaan mereka menyebelahi kerajaan menentang musuh luar. Chou En-lai telah datang untuk berunding dengan Chiang bagi pembentukan satu barisan bersatu menentang Jepun. Syarat- syarat Komunis adalah:
(1).Chiang akan diiktiraf sebagai Ketua Negara dan kerajaannya sebagai kuasa yang sah di China.
(2).Komunis akan berhenti dari menuntut menjadi saingan kerajaan. Mereka akan terus menguasai daerah-daerah luar bandar di Shensi tetapi pentadbiran akan dikenali sebagai Pentadbiran Daerah Sempadan.
(3).Mereka akan berhenti dari merampas tanah dari tuan-tuan tanah.
(4).Tentera Merah akan sedia membantu Chiang untuk tujuan menentang Jepun. Identiti Tentera Merah akan dihapuskan dan akan dikenali sebagai Tentera Jalan ke-8.
Chiang bersetuju dengan syarat-syarat tersebut sebagai jalan yang sebaliknya, sekurang-kurangnya buat sementara waktu. Dia akan menunggu kesempatan yang baik dan mendapatkan simpati dan bantuan orang asing kemudiannya untuk berhada- pan dengan pihak Komunis. Front Bersatu tersebut telah dibentuk pada tahun 1937.
Walaupun syarat-syarat itu menguntungkan Kuomintang, kesannya ke atas negara adalah menguntungkan pihak Komunis.
Dengan mengemukakan syarat-syarat yang menguntungkan Kuomintang dan seolah-olah mengorbankan identitinya sendiri, pihak Komunis telah merampas inisiatif dari tangan Kuomintang dalam hal pertahanan negara. Dengan merayu kepada semua kelas untuk bersatu tenaga melawan Jepun, mereka telah menunjukkan diri mereka sebagai nasionalis yang tulen. Para intelektual yang dahulunya memandang rendah terhadap pergerakan yang disokong oleh kaum petani mulai memuja Komunis.
Adalah lagi satu keuntungan yang diperolehi oleh Komunis. Dengan mengakui Kuomintang sebagai kerajaan yang sah, mereka telah meletakkan beban menyelamatkan China kepada Kuomin­tang. Lagipun, tentera Kuomintang sudah tentu akan mengalami kesukaran akibat kehilangan tenaga manusia dan akan hilang semangat berjuang apabila mereka berhadapan dengan tentera Jepun yang berkelengkapan baik dan sangat terlatih. Ini akan melemahkan kekuatan tentera Kuomintang untuk menjadi satu ancaman yang serius kepada Komunis di masa-masa hadapan. Sebagaimana yang dijangkakan oleh Komunis, Jepun telah merosakkan pihak Kuomintang. Tentera Kuomintang telah di- kalahkan berturut-turut dan mengalami kecederaan yang teruk. Pentadbiran Kuomintang telah terganggu oleh kemaraan tentera- tentera yang menyerang. Orang-orang Jepun telah menduduki kawasan dataran laut dari Peking hingga ke Shanghai, Nanking, Hsuchow, Hankow dan kemudian Canton. Kerajaan telah ber- undur ke pendalaman hingga Chungking.
Gangguan yang dialami oleh kerajaan telah memberi kebebasan kepada Komunis untuk meluaskan lagi kuasa mereka dengan melawan Jepun. Semasa musuh menembusi negeri itu, satu-satunya tentangan yang berkesan telah dibuat oleh gerila- gerila Komunis. Mereka telah menyerang bandar-bandar, jalan- jalan keretapi dan daerah desa yang dikuasai musuh. Mereka telah berjaya merampas semula satu kawasan yang luas di China Utara yang telah jatuh kepada Jepun. Hasilnya mereka telah dikenali sebagai ‘tentera pembebasan’. Pada hakikatnya, Komu­nis tidak mungkin menghalau pelanggar-pelanggar tersebut tetapi kemenangan yang diperolehinya telah memberikan mereka martabat sebagai pahlawan kebangsaan. Peperangannya dengan Jepun akhirnya telah memberi kemenangan kepada Komunis ke atas Kuomintang dengan cara-cara yang berikut:
(1). Ia membolehkan Parti Komunis diterima oleh mereka yang dahulunya menganggap anggota-anggota parti tersebut se­bagai hanya revolusioner petani yang menjalankan satu peperangan kelas melawan semua kelas lain (contohnya, perampasan tanah dari tuan-tuan tanah dan serangan ke atas parti pemerintah yang mengakui berdiri untuk demok- rasi dan nasionalisme). Pihak Komunis telah dianggap sebagai nasionalis kerana kegiatan mereka menentang Jepun.
(2). Ia telah banyak melemahkan Kuomintang — satu tugas yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh Komunis sendiri dalam tempoh masa yang sama memandangkan kesukaran yang telah mereka alami di akhir Perarakan Panjang.
Kemenangan Komunis
Menjelang berakhirnya perang Jepun, Komunis telah menyebarkan kuasanya dari Shensi ke Manchuria, Mongolia Dalam, Hopei, Shensi, Honan, Shantung, Hupeh dan kawasan hilir Yangtze. Seratus juta manusia berada di bawah pemerintahannya. Mereka telah membenarkan pilihanraya kampung dijalankan. Mereka tidak merampas tanah dari kesemua tuan tanah. Hanya tuan- tuan tanah duduk luar sahaja yang kehilangan tanah mereka. Sewa tanah dan kadar faedah telah diturunkan. Sementara itu, kerajaan pelarian Kuomintang di Chungking telah tidak melakukan apa-apa untuk rakyat dan inflasi serta pengambilan untung yang berlebihan telah menambah kesusahan mereka. Rasuah adalah satu lagi kecelakaan. Kewujudan Kuomintang adalah untuk keuntungan pemimpin-pemimpin tertentu sahaja dan ini berlawanan dengan strategi baru Komunis yang menarik semua kelas.
Sejak tamatnya Perarakan Panjang, Komunis nampaknya telah mengubah cara-caranya. Propaganda mereka menekankan kepentingan semua kelas. Misalnya, mereka telah berhenti menyerang tuan-tuan tanah yang tidak duduk luar, dan mereka menyeru semua orang China, termasuk orang-orang Kuomintang, untuk menyokong satu barisan bersatu yang anti-Jepun. Dalam tahun 1940, Mao Tze-tung mengeluarkan dokumen ‘Mengenai Demokrasi Baru’. Di dalamnya ia merujuk kepada ‘gabungan kediktatoran beberapa kelas revolusioner’. Dia sedang memikirkan tentang satu kerajaan campuran dengan Parti Komunis memainkan peranan penting. ‘Demokrasi Baru’ menguatkan imej nasionalis pihak Komunis.
Beginilah keadaannya apabila perang Jepun tamat pada tahun 1945. Kebanyakan dari wilayah-wilayah utara adalah di bawah kekuasaan Komunis tetapi bahagian-bahagian yang di- kuasai Jepun telah diserahkan kepada Kuomintang. Oleh sebab Kuomintang adalah kerajaan yang sah, Amerika Syarikat telah menghantar Tentera Udaranya untuk membawa tentera Chiang ke bandar-bandar di bahagian utara untuk mengambilalih kuasa dari Jepun. Ramai orang China, terutama sekali mereka yang terdidik, menyesali penduduk semula kawasan-kawasan utara oleh tentera Kuomintang walaupun ia mempunyai kedudukan yang sah. Mereka merasakan tindakan yang sedemikian akan berakhir dengan peperangan semula antara Komunis dan Kuo­mintang. Selepas lapan tahun berperang melawan Jepun kemungkinan berlakunya perang saudara sangat mengecewakan. Penderitaan akan bertambah lagi dan ekonomi yang tidak stabil akan roboh langsung. Tindakan Komunis mempertahankan negara adalah lebih mengkagumi dari Kuomintang. Mereka adalah di- akui sebagai berhak untuk menguasai terus kawasan-kawasan yang telah mereka ‘bebaskan’ dari Jepun. Oleh kerana damai menjadi tujuan utama, satu kerajaan campuran Komunis dan Kuomintang adalah dianggapkan sebagai penyelesaian yang dapat diterima ramai. Kuomintang telah meneruskan pendudukan semula di China Utara. Ia telah menolak idea mengadakan satu kerajaan campuran meskipun duta Amerika Syarikat, General Marshall, telah cuba menyelesaikannya. Bagi Kuomintang, kerajaan campuran tidak mungkin kerana pemimpin-pemimpinnya mengetahui bahawa Komunis akan terus menyebarkan pengaruhnya dan meneruskan polisi tanah mereka. Sebaliknya, Komunis telah menganjurkan sebuah kerajaan dari semua kelas dalam konsep ‘Demokrasi Baru’ mereka. Mereka bermaksud untuk memainkan peranan utama dalam kerajaan campuran semua kelas dan meneruskan kegiatan untuk mencapai matlamat-matlamat revolusi mereka. Namun begitu, simpati ramai berada di pihaknya sebab mereka lebih mahu bertolak ansur dari Kuomintang yang nampaknya seolah-olah mementingkan diri sendiri.
Dalam Perang Saudara yang meletus pada tahun 1946, milik-milik Kuomintang di utara adalah satu rintangan kerana ia memaksa Parti itu untuk membahagi-bahagikan tenaganya bagi mempertahankan kawasan-kawasan itu. Tainbahan pula, Komu­nis di kawasan-kawasan desa di sekitarnya dengan senang boleh memencilkan kedudukan Kuomintang. Komunis telah menyekat segala perhubungan melalui jalanraya dan keretapi di antara utara dan selatan. Kuomintang terpaksa bergantung hanya ke­pada pengangkutan udara untuk bantuan tentera dan perbekalan. Dalam tahun 1946 Changchun, Mukden dan lain-lain bahagian Manchuria telah jatuh ke tangan pihak Komunis. Mereka telah mara terus ke selatan dan pada 15hb Januari 1949 telah menawan Tientsin. Peiping (dahulunya Peking) telah menyerah diri pada 22hb Januari tahun yang sama. Keseluruh China utara berada di bawah Komunis. Akibat dari kelam-kabut yang berlaku dalam Kuomintang dan dengan bertambah kurangnya kepercayaan orang terhadapnya telah menyebabkan pegawai-pegawai tinggi- nya berunding dengan Komunis secara rahsia untuk memben­tuk sebuah kerajaan campuran selepas mereka melucutkan kuasa Chiang. Naib Presiden Li Tsung-jen, Jeneral Fu Tso-yi yang menjadi pemerintah tentera di China Utara, dan Wei Li-huang yang pernah menjadi pemerintah garison di Mukden adalah di antara mereka yang bersetuju untuk memaksa Chiang meletakkan kuasanya supaya Perang Saudara dapat ditamatkan oleh sebuah kerajaan campuran didirikan. Selepas Peking jatuh, Chiang telah didesak supaya meletakkan jawatan Presidennya. Li Tsung-jen sekarang telah berunding secara terbuka dengan Komunis untuk mendirikan sebuah kerajaan campuran. Bagi Mao Tse-tung Kuomintang mesti menyerahkan tentera dan pentadbirannya kepada Komunis. Sebagai balasan Kuomintang akan diberi bahagian kecil dalam kerajaan baru yang akan dikelolakan oleh Komunis. Li sedang hendak menandatangani perjanjian itu apabila ia telah lari dari Nanking kerana takut dibunuh oleh polis rahsia Chiang. Dengan itu Tentera Merah telah menyeberang Yangtze untuk menyerang bandar-bandar di selatan. Antara bulan Mei dan November 1949 Nanking, Shanghai, Canton dan Chung­king telah jatuh secara berturut-turutan. Republik Komunis telah diisytiharkan pada lhb. Oktober 1949 dengan Peking menjadi ibu negerinya. Chiang dan saki-baki pengikutnya telah lari ke Formosa.
Sebab-sebab kemenangan Komunis
Kemenangan yang dicapai oleh Parti Komunis tersangat cepat dan mengakibatkan kehancuran yang bukan sedikit. Sebahagian darinya adalah disebabkan oleh kekuatan tenteranya sendiri, disiplin ahli-ahlinya yang cukup baik, kepimpinannya, kejayaan propagandanya dan juga imej nasionalisnya. Kelengkapan tentera­nya yang sebahagiannya ditawan dari tentera Jepun, setengahnya diperolehi dengan memberi rasuah kepada pegawai-pegawai kerajaan dan setengahnya ditawan dari bantuan Amerika kepada Kuomintang bukanlah rendah mutunya jika dibandingkan dengan peralatan tentera kerajaan. Ahli-ahli strategi mereka dengan bijaknya merancangkan langkah-langkah untuk memencilkan ketumbukan-ketumbukan Kuomintang dan memaksa mereka menyerah diri. Mereka tidak membazirkan sumber-sumber untuk cuba memusnahkan pihak lawan pada tiap-tiap pertempuran.
Pemimpin-pemimpinnya - orang-orang seperti Mao, Chu Teh, Lin Pias, Chou En-lai dan Ch’en Yi — pergi ke medan dan secara aktif terlibat dalam menyusun petani-petani menjadi tentera revolusioner dan melatih mereka. Dengan bekerja di kalangan penduduk-penduduk desa menyebabkan mereka lebih memahami petani-petani itu dari oranglain, terutama sekalijika dibandingkan dengan Kuomintang. Pengertian mengenai kaum petani inilah, yang dikuatkan lagi oleh pemahaman tentang masyarakat dan sejarah negeri China, yang menyebabkan Mao mengubah dasar revolusinya dari cara Russia, yang menggunakan pekerja-pekerja bandar sebagai dasar kepada caranya yang tersendiri iaitu menggunakan kaum petani.
Komunis juga menunjukkan kebijaksanaan mereka dalam propagandanya. Pemulihan-pemulihan tanah dan perampasan tanah dari tuan-tuan tanah, Barisan Bersatu, peperangan gerila anti-Jepun dan ‘Demokrasi Baru’ telah dipentingkan dan dijalankan pada masa yang sesuai pula untuk menonjolkan diri mereka sebagai ahli pemulihan sosial yang serius, pahlawan negara dan nasionalis yang sanggup mengorbankan diri. Mereka yang pada masa awalnya terkenal sebagai juara kelas pertanian telah dapat mengatasi kecurigaan dan pandangan rendah kaum intelektual yang pada masa iikliir Perang Jepun telah menyanjung mereka sebagai nasionalis.
Sebahagian besarnya, kejayaan Komunis adalah disebabkan oleh kelemahan dan kegagalan Kuomintang yang telah menimbulkan kebencian seluruh bahagian penduduk. Pihak Kuomintang adalah penuli rasuah, dipengaruhi oleh pilihkeluarga, bersikap diktator, mementlngkan diri sendiri dan tidak memahami keperluan-keperluan rakyat. Kelemahan-kelemahan ini telah digunakan oleh Komunis untuk mendapatkan simpati dari orang ramai, walaupun mereka tidak selalunya menjadi pengikut-pengikut Komunis. Banyak bandar yang dikuasai oleh Kuomintang telah diambil-alih oleh Komunis kerana orang-orang yang mempertahankannya telah putusasa terhadap Kuomintang dan menyerah diri atau berpaling tadah. Saudagar-saudagar,ahli-ahli profesional, sarjana dan pegawai-pegawai yang pernah menyokong kerajaan, kini takutkan kekerasan yang digunakannya. Apabila semakin ramai orang yang menentangnya, ahli-ahli Kuomintang dari lingkungan dalam yang terdiri dari ahli keluarga Chiang dan keluarga Soong (Soong adalah keluarga isteri Chiang) telah menjalankan penangkapan dan pembunuhan politik iaitu satu tugas yang diamanatkan kepada pasukan polis rahsia Kuomintang. Liga Demokratik, satu parti kaum intelektual, telah dihapuskan dengan tindakan tindas terus ke atas ahli-ahlinya. Dalam keadaan politik yang buruk ini tidak siapa pun yang merasa selamat. Inflasi yang melampau telah melanda negeri itu dan salah-urusan ekonomi telah menyusahkan petani dan juga ahli-ahli perniagaan. Akhirnya, kebanyakan orang tidak lagi mahu membantu kerajaan melawan Komunis yang menyerang bandar-bandar kerana mereka telah membuat keputusan bahawa Kuomintang tidak berkebolehan memerintah negeri China.

Revolusi 1911 mungkin dapat dihuraikan sebagai satu ‘titik pemisahan’ dalam sejarah negeri China. Peristiwa ini adalah menjadi garisan pemisah antara kerajaan sistem dinasti lama dengan sistem republik baru. Ia mengasingkan zaman penentangan ter- hadap perubahan sosial dan ekonomi dari zaman di mana peru- bahan seperti itu, walaupun tidak sebenarnya dijalankan buat beberapa lama, adalah diharapkan oleh ramai (antara mereka ialah Dr. Sun, puak kiri sosialis Kuomintang, kaum petani dan Komunis Mao) akan dijalankan juga. Yang pentingnya ialah ia menandakan berakhirnya keadaan-keadaan yang menghalang perkembangan intelektual dan bermulanya satu revolusi intelek­tual yang cepat. Hasil revolusi intelektual yang penting sekali ialah wujudnya satu semangat nasionalisme yang kuat.
Sebagai sebuah negeri yang tidak terkenal dengan kekuatan nasionalismenya mahupun sehingga Revolusi tahun 1911, kita kini dapati dua tenaga politik yang bersaingan (Kuomintang dan Parti Komunis) berlumba-lumba mempergunakan nasionalisme baru itu dalam perjuangan mereka untuk keunggulan di China. Pihak Komunis sendiri - orang seperti Ch’enTu-hsiu, Li Ta-chao, Mao Tse-Tung dan Chou En-lai — termasuk ke dalam golongan intelektual baru ini. Mereka-mereka ini yang telah mengambil bahagian dalam revolusi intelektual adalah di antara mereka yang telah menggerakkan semangat pergerakan nasionalis baru yang awal. Sungguhpun mereka telah menerima satu ideologi asing mereka menghargai bahawa kebanyakan dari orang-orang China, terutama sekali para intelektual, tidak akan menerima Komunisme melainkan ia dapat dikaitkan dengan nasionalisme China. Akibatnya, Parti Komunis China telah berusaha ke arah mendapatkan satu imej nasionalis melalui propagandanya. Melalui rancangan pemulihan tanahnya, ia telah menunjukkan kepada kaum petani bahawa perjuangan Komunis adalah sama seperti perjuangan nasionalis untuk mewujudkan satu order baru dalam bidang sosial dan ekonomi.
Kuomintang telah bermula sebagai satu parti nasionalis tetapi ia tidak dapat mengekalkan imej ini. Dalam menghadapi pencerobohan Jepun, polisinya adalah ‘bersatu sebelum menye­rang’. Pendiriannya menentang kerajaan campuran dengan Komunis selepas perang Jepun telah dianggap sebagai lebih ber- pandukan kepada kepentingan diri sendiri dari kepentingan negara. Kegagalannya sebagai satu parti revolusi bandar untuk dapat diidentifikasikan dengan pejuangkaum petani telah mem- buatkan ia kehilangan sokongan ramai yang diperlukan untuk mengekalkan identiti nasionalisnya. Dalam analisa terakhir, Komunis tclali bcrjaya merampas kuasa kerana mereka telah dengan bijaknya dapat menggabungkan revolusi, nasionalisme dan komunisme dalam perjuangannya.
Sebagai penutup, mungkin kelihatan bahawa kebanyakan orang China telah menyambut baik kerajaan Komunis tanpa menganuti doktrin-doktrin Komunisme. Generasi mereka tidak mungkin dapat memahami makna Komunisme mahupun mem- perdulikannya. Adalah praktik bagi orang yang telah lama men- derita untuk menerima pihak Komunis kerana mereka dilihat sebagai mempunyai semangat nasionalisme, bakat dan disiplin yang pcrlu untuk menyelesaikan masalah-masalah negara. Kalau- lah Kuomintang telah menyelesaikan atau telah menunjukkan minat untuk menyelesaikan masalah-masalah ini, Komunis di China mungkin telah menjadi sesuatu yang tidak perlu kerana Kuomintang mempunyai satu kelebihan - demokrasi, sejajar dengan salah satu daripada prinsip-prinsip ‘San Min Chu I’.

No comments:

Post a Comment